Ambil iktibar kes rasuah rakyat Malaysia di Australia

Ahmad Sayuti Bashiron
Ahmad Sayuti Bashiron
A
A
A

SHAH ALAM - Kejadian rasuah melibatkan pelajar dan pensyarah dari Malaysia di Australia pada 2012 seharusnya menjadi pengajaran serta iktibar agar imej negara tidak lagi terpalit dengan kes memalukan tersebut.

Perbuatan pelajar memberi rasuah kepada pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi di Australia ternyata memberi impak besar kerana media negara itu memainkan isu tersebut selama hampir sebulan.

Kes tersebut berlaku apabila pelajar Malaysia memberi sogokan kepada pensyarah yang juga warganegara Malaysia agar mendapat markah lulus.

Mengimbau kisah tragis tersebut, Ketua Jabatan Stadium Shah Alam, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, dia bekerja di Australia ketika kejadian itu berlaku.

Katanya, perbuatan rasuah melibatkan warganegara Malaysia itu hangat diperkatakan oleh media negara tersebut dan menjadi begitu sensasi sehinggakan rakyat Malaysia 'diburu' untuk ditemubual.

Menurutnya, insiden tersebut betul-betul menyedihkan dan dia berasa begitu malu apabila isu tersebut diletakkan di muka hadapan akhbar untuk tempoh beberapa waktu.

"Saya pernah ditemui pihak media Australia untuk ditemubual mengenai isu tersebut, malah mereka bertanya kepada saya adakah amalan rasuah menjadi satu perkara biasa di negara kita?

"Ketika itu saya berasa sangat malu dan merasakan imej negara telah tercemar dengan perbuatan jijik pelajar dan pensyarah tersebut," katanya yang ditemui kru Rasuah Busters pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Sayuti berkata, hanya kerana suapan sekitar RM950, kedua-dua warganegara Malaysia itu menerima tamparan hebat apabila ditamatkan pengajian dan diberhentikan kerja.

Namun apa yang lebih teruk ujarnya, imej negara terpalit dengan satu insiden yang sangat memalukan di peringkat antarabangsa hanya kerana angkara rasuah yang sekelumit tersebut.

Sehubungan itu katanya, sistem pendidikan berhubung rasuah perlu diterapkan sejak kecil agar perasaan benci terhadap jenayah itu berkekalan sehingga akhir usia.

Jelasnya lagi, perbuatan pelajar tersebut yang memberi sesuatu kepada guru dengan harapan mendapatkan balasan perlu 'ditamatkan' supaya ia tidak terbawa-bawa ke peringkat seterusnya.

Tegas beliau, kesan yang amat buruk bakal menimpa negara sekiranya generasi muda dibentuk dalam budaya yang salah.

Sehubungan itu katanya, usaha yang dijalankan oleh Rasuah Busters adalah satu tindakan tepat dalam menyedarkan masyarakat bermula dari akar umbi.

"Saya menyokong sepenuhnya usaha yang dijalankan oleh pasukan Rasuah Busters bersama ahli gabungan yang lain.

"Semoga ia menjadi pemangkin kepada kita semua untuk menolak amalan rasuah yang mengundang pelbagai masalah besar kepada negara dan masyarakat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Rasuah: Kaya duniawi, miskin akhirat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!