Varian Omicron atau Delta, rakyat jangan leka!
SELEPAS banyak negara mula melonggarkan sekatan dan membenarkan kemasukan pengembara asing, dunia sekali lagi dikejutkan dengan kewujudan satu lagi varian baharu Covid-19.
Varian B.1.1.529 atau dinamakan sebagai Omicron itu dilaporkan mempunyai 26 hingga 32 mutasi malah dikatakan menyebabkan kadar jangkitan lebih pantas dan mudah merebak.
Ketika ini lebih 30 negara telah mencatatkan kes jangkitan Omicron dengan ribuan kes harian dilaporkan di Afrika Selatan dipercayai adalah jangkitan varian baharu itu.
Pada 10 Disember lalu, Singapura turut mengesan satu kes tempatan positif Covid-19 varian Omicron membabitkan pekerja barisan hadapan di lapangan terbang.
Ini menjadikan negara itu merekodkan lima kes jangkitan varian Omicron.
Malaysia turut melaporkan satu kes Omicron selepas seorang pengembara bukan warganegara dari Afrika Selatan disahkan dijangkiti virus berkenaan pada 2 Disember lalu.
Baru sahaja dapat menarik nafas lega selepas kita berjaya mengawal Covid-19 dek serangan beberapa siri varian Covid-19 seperti Delta, nafas kembali sesak selepas Omicron pula muncul.
Persoalan sama ada kita akan kembali ‘dikurung’ seperti mana yang berlaku sebelum ini bermain-main di minda dan turut mengundang keresahan rakyat.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, rakyat tidak perlu panik dengan kemunculan Omicron kerana langkah pencegahan Covid-19 berkesan mencegah penularan wabak ini.
Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Malaysia antara negara paling cermat dari segi pencegahan seperti pelaksanaan kuarantin, keperluan memakai pelitup muka dan pengesanan kontak yang teliti.
Tindakan pantas kerajaan mengenakan larangan kemasukan pengembara terhadap beberapa negara berisiko serta langkah memperketatkan SOP harus dipuji.
Nampaknya kita sudah belajar daripada kesilapan terdahulu selepas lambat bertindak ketika varian Delta mengganas.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Rosnah Sutan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan terus mengamalkan norma baharu sebaik mungkin.
Masih banyak yang tidak diketahui tentang Omicron, termasuk sama ada ia lebih mudah berjangkit dan mampu menyebabkan penyakit yang lebih serius.
Bukti awal menunjukkan varian Omicron Covid-19 mungkin mempunyai tahap kebolehjangkitan lebih tinggi tetapi kurang berbahaya.
Pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci dilaporkan berkata, walaupun lebih banyak data diperlukan, kebanyakan kes awal Omicron kurang menyebabkan kemasukan ke hospital dan pesakit kurang memerlukan bantuan oksigen.
Sementara itu, Penasihat Kanan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Bruce Aylward berkata, buat masa ini, fokus utama harus tertumpu kepada varian Delta kerana telah terbukti menyebabkan hampir 50,000 kematian di dunia.
Beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengklafikasikan Omicron sebagai varian berbahaya kerana masih banyak kajian dan penelitian lanjut perlu dilakukan.SOP
Penulis berpendapat sama ada Omicron berbahaya atau tidak, kehadiran varian itu tidak harus dipandang sebelah mata.
Daripada pemerhatian penulis, rakyat Malaysia dilihat semakin leka malah ramai yang mengabaikan SOP selepas aktiviti ekonomi dan sosial mula dibuka.
Sudah ramai yang berani bersesak-sesak, berhimpun di tempat tertutup, tidak mematuhi penjarakan fizikal dan ada yang buat-buat lupa untuk mengimbas MySejahtera.
Ingatlah bahawa kita masih belum menang, selagi kes harian belum mencecah sifar.
Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab marilah kita terus mematuhi SOP yang digariskan dan sentiasa beringat Covid-19 masih ada di persekitaran kita.
Dalam pada itu, diharap dengan kemunculan Omicron akan membuka hati mereka yang tidak divaksinasi agar segera mendapatkannya.
* Munirah Abdul Aziz ialah Penolong Penerbit Content News Digital (Video)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!