FAM nafi Harimau Malaya ancam tarik diri
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan laporan media Vietnam bahawa skuad Harimau Malaya mengancam mahu menarik diri jika tidak dibenarkan menambah pemain bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2020.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, perkara itu tidak pernah berbangkit memandangkan Harimau Malaya tetap fokus berjuang di Singapura ketika ini.
“Bagi saya, ini satu taktik propaganda Vietnam. Saya ada baca mengenai berita tersebut dan saya difahamkan berita itu datangnya daripada media Vietnam.
“Jelas sekali apa yang pihak media Vietnam laporkan itu salah dan saya rasa mereka saja menggunakan berita itu sebagai alat propaganda sebelum menentang Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Malah, Saifuddin memberitahu, penjaga gol kacukan, Samuel Somerville kini berada dalam senarai 'menunggu' jika penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid tidak dapat memperkuat Harimau Malaya dalam baki perlawanan akan datang.
“Permohonan untuk bawa seorang lagi penjaga gol sudah lulus yang mana kemungkinan Sam Somerville mungkin akan dipanggil untuk memperkuatkan pasukan negara.
“Tapi kita kena tunggu keputusan daripada coach Tan (Cheng Hoe) dan (jurulatih penjaga gol Harimau Malaya) Azmin (Azram Abdul Aziz) untuk buat analisa mengenai pemain tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, Khairulazhan dan pemain sayap lincah, Faisal Halim telah mendapat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) selepas selesai menjalani kuarantin wajib 10 hari pada Ahad.
“Tapi sebagai langkah berwaspada, mereka akan buat ujian RT-PCR untuk ketahui virus load (kandungan virus) sama ada masih boleh menjangkiti orang lain atau tidak.
“Jika ujian itu keputusannya negatif, barulah Khairulazhan dan Faisal boleh kembali bersama-sama pasukan kebangsaan apabila mendapat kebenaran pihak penganjur,” jelasnya.
Sebelum ini, Harimau Malaya terpaksa berdepan dugaan besar apabila Khairulazhan, Faisal serta dua lagi pemain - Akhyar Rashid dan Quentin Cheng didapati positif Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!