Exco Pelajaran Pahang kecewa kejadian buli terus berlaku

Syed Ibrahim Syed Ahmad
Syed Ibrahim Syed Ahmad
A
A
A

KUANTAN - Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad kecewa apabila kejadian buli membabitkan pelajar sekolah masih terus berlaku di negeri ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga dilihat gagal menangani masalah itu apabila senario serupa terus berlaku dari semasa ke semasa.

"Kita sedih apa yang berlaku di sekolah itu (Muadzam Shah, Rompin) apabila pelajar dipukul oleh pelajar senior dan ia tidak sewajarnya berlaku.

"Kerajaan negeri sedia membantu KPM seandainya mereka masih gagal mengatasi masalah seperti ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata sedemikian susulan laporan sebuah akhbar mengenai kejadian buli yang berlaku di sebuah sekolah berasrama di Pahang.

Kejadian yang didakwa berlaku pada 3 Disember lalu itu menyebabkan empat pelajar berusia 14 tahun cedera dan trauma selepas didakwa dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak serta dikenakan hukuman rotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Dalam pada itu, beliau berharap kementerian terbabit dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan kes buli tidak berulang lagi.

"Kerajaan negeri juga sedia membantu dalam isu ini sekiranya mendapat kerjasama daripada kementerian," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berharap orang ramai tidak membuat andaian sendiri kerana pihak polis sedang melakukan siasatan selain memberitahu tindakan proaktif antaranya pemeriksaan ke asrama-asrama akan dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!