Pembangunan industri angkasa fokus Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR - Perancangan dalam pembangunan industri angkasa negara dan menarik pelaburan luar dalam sektor berkenaan antara yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Ahli Parlimen Setiu, Shaharuzukirnain Abd Kadir kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Selain itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Tan yee kew pula meminta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan projek dan program untuk meningkatkan daya saing industri halal bagi merebut peluang pasaran halal yang lebih besar sepertimana disebutkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Pada sesi sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pula diminta menyatakan langkah menaikkan industri getah dengan kewajaran menaikkan harga lantai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM3 sekilogram.
Soalan itu diajukan Ahli Parlimen Sik iaitu Ahmad Tarmizi Sulaiman.
Turut menjadi tumpuan ialah pertanyaan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris kepada Perdana Menteri mengenai usaha pemerkasaan, pendidikan pelaburan dan peningkatan kesedaran untuk galakkan rakyat mencipta kekayaan dan pendapatan pasif melalui pelaburan.
Ahmad Nazlan turut ingin tahu statistik pemilikan ekuiti dalam kalangan rakyat Malaysia melalui jenis pelaburan yang disertai.
Seterusnya adalah pertanyaan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen kepada Menteri Kanan Pertahanan mengenai kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat atau AUKUS akan membawa kepada perlumbaan senjata Sino-Amerika Syarikat yang menjadikan Asia Pasifik menjadi kawasan rawan konflik.
Beliau turut ingin tahu bagaimana prinsip ASEAN Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) boleh dikekalkan.
Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat jawatankuasa.
Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!