Penduduk Baleh mahu pengganti contohi kepimpinan James Masing

Nicholas Kundi
Nicholas Kundi
A
A
A

KAPIT - Sebaik sahaja nama Tan Sri Dr James Masing disebut sebagai pembuka soalan kepada penduduk Tunoh, Bukit Mabong, ada yang tidak dapat menahan sebak hingga berlinang air mata apabila mengenangkan pemergian pemimpin terbilang Bumi Kenyalang itu pada 31 Oktober lalu.

Ketokohan, sumbangan dan jasa mendiang kepada kawasan Baleh, Kapit dan Sarawak amnya tiada tolok bandingnya dan ketiadaannya amat dirasai ramai selepas menabur bakti sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh selama 38 tahun.

Buyout Maling, 55, masih tidak percaya James kini sudah tiada sambil memikirkan siapakah yang bakal menggantikan figura tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Disember ini.

“Terlalu banyak jasa mendiang di sini, beliau adalah pemimpin Dayak yang berani. Saya harap pemimpin baharu ialah seorang yang mencontohi mendiang dalam memimpin kawasan Baleh, berwibawa dan bertanggungjawab serta amanah.

“Kalau sudah menang jangan sombong, jangan lupa rakyat di kawasan Baleh. Siapa pun pengganti harus meneruskan legasi mendiang dan memberi tumpuan sepenuhnya bagi membantu rakyat,” kata wanita itu dalam bahasa Iban, yang diterjemah oleh seorang penduduk tempatan.

Bagi penduduk DUN Baleh yang terletak di bahagian pedalaman Tengah Sarawak, nama James sudah sebati di hati mereka selama puluhan tahun, kerana disifatkan sebagai individu yang banyak memperjuangkan pembangunan di kawasan itu seperti pembinaan jalan raya, bekalan elektrik dan air serta kemudahan awam lain.

Terletak kira-kira 100 kilometer dari pekan Kapit, Tunoh yang berada di bawah DUN Baleh dengan populasi kira-kira 2,000 penduduk adalah pusat pentadbiran bagi daerah baharu Bukit Mabong, yang diisytihar pada 2015 dan sedang rancak dibangunkan.

Penduduk yang ditemui rata-rata menyanjung tinggi kepimpinan dan legasi James.

Artikel Berkaitan:

Antara mereka ialah Tuai Rumah Kilau Ugap yang menyifatkan sifat kepimpinan dan rendah diri mendiang James amat sesuai dijadikan contoh kepada bakal wakil rakyat di kawasan itu, sambil berharap agar segala pembangunan yang telah dirancang di kawasan itu akan dapat diteruskan.

“Kalau boleh percepatkan juga pembinaan kem tentera di Tunoh. Bukan hanya untuk menjaga tiga empangan utama iaitu Murum, Bakun dan Baleh tapi juga untuk keselamatan negeri yang berdekatan dengan sempadan Kalimantan,” katanya.

Kilau turut berharap calon yang akan dipilih kelak mampu memperjuangkan pembinaan sekolah menengah memandangkan ketika ini hanya terdapat sekolah kebangsaan serta pewujudan pondok polis dan balai bomba bagi memudahkan urusan.

James Jabal, 50, yang ditemui ketika sedang sibuk mengerjakan sawahnya di kawasan itu pula berharap pembinaan lapangan terbang Bukit Mabong dapat direalisasikan segera agar beliau tidak lagi perlu ke pekan Kapit yang mengambil masa lebih kurang empat jam perjalanan, semata-mata untuk menjual berasnya di pekan itu.

“Sekarang ini kalau nak ke pekan Kapit kadang-kadang terpaksa bermalam di sana, kos pun sangat tinggi tapi kalau ada lapangan terbang nanti segala hasil pertanian kami boleh diangkut dengan lebih mudah,” katanya.

Sementara itu, calon GPS bagi DUN Baleh, Nicholas Kundi yang juga anak saudara kepada James berkata, sekiranya gabungan itu diberi mandat mentadbir Sarawak, sudah pasti pelan pembangunan di kawasan itu akan diteruskan termasuk merealisasikan kemudahan lapangan terbang bagi merancakkan ekonomi di kawasan itu.

“Sebagai contoh kita lihat di Bario, kawasannya agak jauh dari Lawas, Miri dan Limbang serta terpencil, tapi dengan pembinaan lapangan terbang Bario, orang boleh keluar masuk bawa hasil pertanian dan bawa pelancong ke Bario.

“Sekiranya kita tidak sokong kerajaan negeri atau GPS kemungkinan pelan pembangunan di kawasan Tunoh mungkin terhalang,” katanya.

Pada PRN kali ini, Baleh, satu daripada lima DUN terbesar di Sarawak menyaksikan pertandingan empat penjuru. Nicholas akan berhadapan Kenneth Usang George daripada DAP; Irwan Iskandar Sukarno Abdullah yang juga dikenali Sukarno Layau (Parti Bumi Kenyalang) dan Koh Kumbong mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB). - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!