Pemandu lori tangki guna lorong kecemasan dicari

Tangkap layar video berdurasi 16 saat memaparkan tindakan pemandu lori terbabit yang tular di Facebook pada Ahad.
Tangkap layar video berdurasi 16 saat memaparkan tindakan pemandu lori terbabit yang tular di Facebook pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - Pemandu sebuah lori tangki yang didapati memandu di lorong kecemasan untuk memotong di Kilometer 27-28 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson diminta tampil ke Balai Trafik Port Dickson untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, video berdurasi 16 saat yang memaparkan tindakan pemandu lori terbabit tular di Facebook pada Ahad.

"Berdasarkan rakaman video itu, kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu antara jam 2 petang hingga 4 petang di lebuh raya terbabit dari arah Seremban ke Port Dickson.

"Semasa kejadian, keadaan lebuh raya sesak dengan kenderaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, polis telah mengesan kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran CEL 5916 yang didaftarkan pada sebuah syarikat pengangkutan beralamat di Bukit Raja, Shah Alam.

Aidi Sham berkata, semua pengguna jalan raya diminta mengamalkan etika pemanduan yang baik, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan sikap toleransi di atas jalan raya supaya tidak mendatangkan kesulitan pada orang lain.

"Polis juga tidak berkompromi pada mana-mana pemandu atau penunggang yang mengambil jalan pintas dan berlagak sebagai 'raja' di lebuh raya bagi menjamin keselamatan pengguna lain," katanya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan /Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!