Wujudkan segera jawatan warden asrama sepenuh masa
GEORGETOWN - Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia Pulau Pinang mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan jawatan warden asrama sepenuh masa bagi menyelesaikan isu bebanan tugas warden asrama.
Setiausahanya, Sukor Bakar berkata, KPM perlu mengkaji semula bebanan tugas digalas oleh semua warden asrama ketika ini yang turut menjalankan kerja harian di sekolah seperti menjadi tenaga pengajar.
Menurutnya, beban tugas yang dipikul di sekolah ditambah tanggungjawab mengawal selia penghuni asrama selepas waktu kerja hingga lewat malam memberi tekanan kepada mereka sedangkan elaun yang diterima dilihat tidak setimpal.
"Perlu diingatkan hanya dengan elaun RM240 sahaja seorang warden boleh berhadapan dengan risiko perundangan jika berlaku sesuatu kepada murid di asrama.
"Alasan warden cuai dan pelbagai lagi tuduhan sering dilemparkan kepada mereka setiap kali berlaku sesuatu kejadian tidak diingini namun adakah kita sedar beban yang terpaksa ditanggung mereka dengan menjaga puluhan malah ratusan penghuni asrama yang bermacam ragam dan karenah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Sukor berkata, pihaknya mengetahui jawatan warden sepenuh masa di sekolah yang dicadangkan sejak dahulu bukan dalam bidang kuasa Kementerian Pendidikan atau institusi seperti MARA.
Bagaimanapun, jelasnya dengan kejadian buli yang dilaporkan berlaku sebelum ini selain pertambahan tugas warden asrama yang perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dipatuhi, cadangan mewujudkan jawatan warden sepenuh masa perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan jabatan berkaitan.
"Dengan wujudnya jawatan berkenaan ia akan mengurangkan beban warden asrama dalam kalangan guru sekolah dan melancarkan lagi pengurusan asrama.
"Sudah tiba masanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi pertimbangan serius untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa demi kebaikan semua pihak," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!