Kawalan khusus mata wang kripto tidak dapat dilaksanakan
KUALA LUMPUR – Kerajaan berpendapat kawalan khusus berkaitan mata wang kripto tidak dapat dilakukan kerana sifatnya yang desentralisasi (decentralised).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, untuk membuat satu undang-undang khusus berkenaan perkara terbabit juga dilihat sukar.
“Kita juga tidak mempunyai satu tempat pemusatan kawalan bagi mata wang kripto kerana ia (bersifat) terbuka.
Dalam dunia ini ada banyak bentuk pelaburan baru,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang bertanyakan tentang pendirian kerajaan berkenaan mata wang kripto dan mencadangkan agar perlunya ada sekuriti berkenaan perkara tersebut supaya rakyat negara ini tidak terjebak atau tertipu dengan sindiket terlibat.
Eddin Syazlee menambah, negara ini bagaimanapun mempunyai platform yang mengawal secara khusus dagangan berkaitan mata wang kripto.
“Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti telah mengklasifikasikan mata wang kripto sebagai salah satu sekuriti yang antara lain memberi bimbingan kepada pelabur-pelabur supaya lebih memahami risiko dan bentuk pelaburan berkaitan dengan kripto,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!