Kaunter bayaran saman trafik di semua IPD Terengganu lengang
KUALA TERENGGANU - Orang awam disarankan mengambil kesempatan situasi lengang di kaunter kaunter bayaran trafik di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kini untuk membuat semakan atau membayar saman tertunggak mereka dan tidak menunggu hingga saat-saat akhir.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, suasana kaunter bayaran saman trafik di semua IPD di negeri ini lengang sepenuhnya dan amat berbeza jika hendak dibandingkan empat hari sebelum ini.
"Kami faham pesalah trafik mungkin boleh menarik nafas lega selepas mendengar berita tempoh diskaun kompaun saman trafik dilanjutkan hingga 31 Disember ini.
"Tetapi apa salahnya dalam tempoh lengang ini, mereka datang membuat semakan saman terlebih dahulu dan anggota bertugas di kaunter boleh membuat cetakan untuk mereka, jadi memudahkan urusan pembayaran nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Rohaimi berkata, pihaknya menjangkakan suasana akan kembali 'sesak' bermula pada 25 Disember nanti sehingga tempoh kemuncak yang ditetapkan.
"Jadi bagi mengelak berlakunya sebarang permasalahan yang mungkin tidak dijangka lebih-lebih lagi pada waktu puncak, pesalah trafik dinasihatkan boleh menyelesaikan bayaran mengikut bajet kewangan yang ada terlebih dahulu.
"Tidak semestinya mereka perlu menyelesaikan semua bayaran saman tertunggak yang ada, mereka boleh menyelesaikan tunggakan saman mengikut bajet sedia ada dan dalam tempoh lengang ini paling sesuai untuk berurusan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.40 tengah hari, hanya 150 pesalah trafik yang datang menjelaskan saman masing-masing di IPD Marang dengan jumlah kutipan saman RM21,430.
"Jumlah ini amat ketara berbeza berbanding empat hari sebelum ini yang mana boleh dikatakan kami menerima kunjungan lebih 1,000 pesalah trafik sehari yang mahu menyelesaikan bayaran saman mereka.
"Kaunter bayaran saman dibuka serta beroperasi seperti biasa dan sepatutnya tempoh ini ( tempoh lengang), pesalah trafik boleh datang membuat semakan saman masing-masing dan jangan tunggu di saat-saat akhir kerana kita bimbang berkemungkinan akan berlaku masalah tidak dijangka," jelasnya ketika dihubungi pada Isnin.
Situasi sama turut diakui Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud yang mendedahkan, pihaknya hanya menerima 50 pesalah trafik yang berurusan di kaunter bayaran saman trafik setakat tengah hari Isnin.
"Situasi ini sangat berbeza kerana sebelum ini kami menerima kunjungan pesalah trafik ourata 1,500 orang sehari," katanya.
Pada Ahad, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan tempoh diskaun untuk bayaran 80 peratus diskaun ditawarkan bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang dijadualkan berakhir tengah malam Ahad, dilanjutkan hingga 31 Disember ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelanjutan tempoh bayaran kompaun saman itu diberikan untuk memberi peluang kepada orang ramai mengambil kesempatan menjelaskan saman mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!