'Kelemahan PKR pada PRN Melaka akan diperbaiki'
BEKENU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat kelemahan dalam gabungan itu sehingga menyebabkan penolakan rakyat terhadap parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun menurutnya, ia seharusnya tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur sokongan pengundi terhadap PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Sehubungan itu, Anwar memberi jaminan bahawa kesemua kelemahan akan segera dibaiki sekali gus memberikan yang terbaik kepada rakyat di Sarawak pada PRN kali ini.
"Saya menerima beberapa kelemahan kita (PKR) di Melaka yang perlu diperbaiki dan kita akan cuba sedaya upaya untuk menjelaskan (memperbaiki) kepada rakyat di Sarawak," katanya kepada pemberita di Bekenu pada malam Ahad.
Berhubung proses kempen PKR di Sarawak, Anwar berkata, maklum balas yang diterima daripada rakyat Sarawak amat baik, namun kekangan prosedur operasi standard (SOP) menjadi cabaran kepada jentera PKR.
"Sambutan amat baik, namun kita tidak boleh kempen secara terbuka dan banyak kekangan. Itu adalah halangan untuk kita mendekati rakyat di kawasan-kawasan terpencil," tegasnya.
Sebelum ini, PRN Melaka menyaksikan PKR hilang 10 daripada 15 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) di mana sembilan daripadanya dirampas oleh Barisan Nasional (BN) manakala satu kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN).
PRN tersebut turut menyaksikan penguasaan dominan BN di negeri bersejarah itu di samping memberi tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR sendiri kerana gagal mempertahankan kerusi mereka.
ARTIKEL BERKAITAN:Jentera PKR dinasihatkan kerja kuat untuk menangkan calon
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!