7 maut, beribu hilang tempat tinggal
RIO DE JANEIRO - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal selepas hujan lebat melanda negeri Bahia di timur laut Brazil pada hujung minggu, lapor Pertahanan Awam wilayah pada Ahad.
Hujan lebat, yang disebabkan oleh taufan di luar kawasan tropika, berlaku di wilayah selatan Bahia minggu lalu, bertambah kuat pada Sabtu, menyebabkan sebahagian kawasan itu dinaiki air dan kerosakan harta-benda.
Menurut Pertahanan Awam, terdapat kira-kira 30 majlis perbandaran terjejas akibat hujan itu, yang setakat ini mengakibatkan tujuh orang maut, 175 orang cedera dan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal, lapor Agensi Berita Xinhua.
Hujan ribut menyebabkan beberapa bandar dan kawasan luar bandar terpisah hubungan sepenuhnya, menyukarkan pasukan bantuan untuk menghubungi mereka. Pada Ahad, lebih 200 anggota bomba tentera menyelamatkan orang ramai dalam komuniti yang terjejas dengan sokongan dua helikopter.
Presiden Brazil Jair Bolsonaro dan Gabenor Bahia Rui Falcao melawat ke kawasan itu pada Ahad dan menjanjikan bantuan pembinaan semula. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!