Tiga fasa pelan pembangunan DUN Beting Maro

Razaili - Foto Bernama
Razaili - Foto Bernama
A
A
A

PUSA - Wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro perlu memiliki perancangan jangka pendek dan panjang supaya penduduk di kawasan luar bandar itu dapat menikmati kemudahan pembangunan dengan segera.

Atas sebab itu, Razaili Gapor yang berkhidmat selama dua penggal di Beting Maro tidak boleh berpeluk tubuh atau hanya bergantung harap kepada kerajaan negeri Sarawak untuk membangunkan kawasan itu yang terletak lebih lima jam perjalanan darat dari Kuching.

Justeru, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 itu berkata, apabila dipilih sebagai ADUN Beting Maro pada 2011, beliau telah menetapkan pembangunan kawasan tersebut menerusi tiga fasa pelan pembangunan.

"Fasa pertama ialah penyediaan keperluan asas seperti akses jalan raya, elektrik dan air manakala fasa kedua iaitu kesejahteraaan ekonomi seperti membuka kawasan hasil pertanian bagi menjana pendapatan penduduk telah berjaya dicapai.

"Fasa ketiga pula membawa teknologi terkini dan infrastruktur dalam bidang pertanian, sebagai contoh mewujudkan sistem pengairan dan saliran yang lebih baik supaya tanah di Beting Maro, yang sudah dikenal pasti berpotensi, dapat diusahakan sebaik mungkin seterusnya menjana pendapatan penduduk," kata bekas Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak itu kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Pusa di sini baru-baru ini.

Razaili berkata, apabila produktiviti bertambah dan hasil pengeluaran dapat ditingkatkan, ia mampu menarik generasi muda untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian.

Pada masa sama, kata beliau, kedudukan Beting Maro dalam kawasan pentadbiran Betong juga signifikan dengan projek pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling di Spaoh yang bakal memudahkan produk pertanian dari kawasan itu memasuki pasaran dalam dan luar negara.

"Banyak potensi menerusi produk pertanian boleh dibangunkan di sini, misalnya gula apong dengan Beting Maro adalah pengeluar terbesar di Sarawak berupaya ditingkatkan lagi daripada industri kotej kepada komersial menerusi perubahaan cara kerja.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini, pengeluaran gula apong masih diusahakan secara tradisional sedangkan kita boleh rangka supaya ladang nipah dibuat secara tersusun serta teratur dengan sistem rangkaian jalan dan air yang sesuai bagi memodenkan industri dan meningkatkan pengeluaran," katanya.

Beliau berkata, dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), teknologi baharu bagi memproses nira nipah menjadi gula apong secara mekanikal dan gas atau elektrik bagi menggantikan kayu sebagai bahan bakar bakal dilaksanakan.

"Kita sedang dalam proses untuk memperkenal produk-produk baharu bernilai tinggi. Sebagai contoh, ketika ini gula apong dijual pada harga RM10 sekilogram tetapi apabila ia diubah sebagai madu nipah, saya percaya nilainya akan berlipat ganda," katanya.

Pada PRN kali ini, Razaili bakal ditentang Setiausaha Pas negeri, Mohammad Arifiriazul Paijo, Pemangku Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, Jacky Chiew Su Chee daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan calon Bebas, Safiudin Matsah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim meminta pengundi DUN Beting Maro terus memilih Razaili bagi meneruskan kesinambungan pelan pembangunan yang telah dirancang untuk kawasan tersebut.

"Jangan salah pilih wakil rakyat, pastikan buat penilaian tepat sebelum buat sebarang keputusan. Sebagai wakil rakyat, pencapaian Razaili di kawasan ini amat baik.

"Sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar, saya juga tegaskan sokongan saya hanya kepada Razaili tidak kepada orang lain, termasuk calon bebas yang juga bekas Setiausaha Politik saya sebelum ini," katanya yang ditemui ketika membantu kempen Razaili. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!