Pemandu bas 'lalok' ditahan

Rakaman tular membabitkan pemandu bas tersebut.
Rakaman tular membabitkan pemandu bas tersebut.
A
A
A

KULIM - Seorang pemandu bas berusia 44 tahun ditahan polis selepas tindakannya yang memandu secara berbahaya dan melulu dirakamkan oleh orang awam dalam kejadian pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, suspek yang memandu bas tambang henti dikesan melanggar lampu isyarat merah di Simpang 3, Batu 8, Lunas pada jam 11.40 pagi sebelum memecut laju melalui Pekan Padang Serai hingga ke kawasan Sungai Karangan.

Katanya, orang awam yang mengekori bas berkenaan beberapa kali cuba memberhentikannya tetapi tidak berjaya.

"Cara pemanduannya sangat berbahaya sehingga turut melanggar cermin sisi sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

"Walau bagaimanapun, orang awam berjaya menghentikan bas itu di hadapan Balai Polis Sungai Karangan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada penumpang dalam bas berkenaan ketika kejadian dan suspek di bawah pengaruh syabu ketika pemanduan.

"Semakan rekod jenayah mendapati suspek dikehendaki polis kerana tidak hadir ke Mahkamah Johor Bahru atas pertuduhan penagihan dadah pada tahun 2019.

"Selain itu, dia juga mempunyai 51 saman kesalahan trafik yang mana lima daripadanya berstatus waran tangkap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah, Sazalee bas terbabit adalah milik sebuah syarikat pengangkutan di Kulim dan skim insurans serta cukai jalan masih belum tamat tempoh.

"Suspek yang berasal dari Taiping Perak telah bekerja selama dua tahun bersama syarikat berkenaan dan mempunyai lesen memandu yang sah.

"Bas terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (Isnin). Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!