Raja buah dapat sambutan tinggi di Belanda

Orang ramai menghadiri program demonstrasi masakan dan ‘food tasting’ sempena Taste of Malaysia 2021 di Amazing Oriental, Belanda.
Orang ramai menghadiri program demonstrasi masakan dan ‘food tasting’ sempena Taste of Malaysia 2021 di Amazing Oriental, Belanda.
A
A
A

SHAH ALAM - Raja buah Malaysia terus mendapat permintaan tinggi di Belanda susulan penganjuran Program Taste of Malaysia (TOM) 2021 pada 10 November hingga 23 November lalu.

Program tersebut merupakan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui pejabatnya di The Hague, Belanda dengan kerjasama pasaraya Amazing Oriental, Kedutaan Besar Malaysia di The Hague, Matrade dan Tourism Malaysia.

Pasaraya Amazing Oriental merupakan pasar raya Asia terbesar di Belanda dengan 21 cawangan di seluruh negara.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pihak pasar raya berkenaan, secara keseluruhan program tersebut telah menunjukkan peningkatan jualan produk makanan Malaysia yang amat memberangsangkan sehingga 228 peratus berbanding tanpa usaha promosi.

“Isi buah durian sejuk beku jenis ‘musang king’ mendapat permintaan sehingga enam kali ganda iaitu 86 karton berbanding 12 karton manakala buah durian sejuk beku pula mencatatkan jualan sehingga tiga kali ganda.

“Produk-produk berasaskan durian juga mendapat sambutan yang amat tinggi dengan peningkatan permintaan sehingga 50 peratus berbanding tanpa sebarang usaha promosi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Program TOM diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai produk makanan Malaysia selain mempromosikan durian serta produk berasaskan durian jenis ‘musang king’ di negara tersebut.

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, potensi pasaran produk pertanian di Eropah adalah amat luas namun pada masa sama aspek keselamatan makanan juga perlu diutamakan.

Artikel Berkaitan:

Nadzirah (tiga dari kanan) bersama Kaunselor Pertanian, Muhamed Salim Mohd Ali dan beberapa wakil agensi serta pengurusan pasaraya sewaktu merasmikan Program Taste of Malaysia 2021 di pasaraya Amazing Oriental, Belanda.
Nadzirah (tiga dari kanan) bersama Kaunselor Pertanian, Muhamed Salim Mohd Ali dan beberapa wakil agensi serta pengurusan pasaraya sewaktu merasmikan Program Taste of Malaysia 2021 di pasaraya Amazing Oriental, Belanda.

Beliau berkata, pihak Kesatuan Eropah memberi perhatian serius terhadap keperluan import dan eksport seperti aspek kelestarian, pensijilan, pembungkusan dan pelabelan.

“Ini dapat dilihat dengan jelas melalui polisi-polisi berkaitan sekuriti makanan yang telah dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, Haslina berkata, beliau yakin bahawa lebih banyak produk pertanian dan makanan akan dapat memenuhi keperluan tersebut melalui khidmat nasihat dan sokongan oleh pihak kementerian dan agensi-agensi berkaitan.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Nadzirah Osman pula berkata, jalinan kerjasama strategik bersama pihak pasar raya adalah amat diperlukan bagi memastikan lebih banyak buah-buahan dan produk makanan dapat diimport ke negara tersebut.

“Terdapat juga kemudahan logistik seperti pelabuhan Rotterdam yang menjadi pintu masuk utama bagi perdagangan sektor pertanian di antara Malaysia dan Kesatuan Eropah,” katanya yang merasmikan program TOM 2021.

Pejabat Perwakilan Pertanian MAFI di The Hague, Belanda merupakan pejabat serantau, meliputi pasaran 33 buah negara iaitu United Kingdom (UK), 27 negara Kesatuan Eropah, empat negara European Free Trade Association (Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland) serta Rusia.

Antara fungsi pejabat ini adalah untuk memperluaskan akses pasaran, memberikan khidmat nasihat berkaitan keperluan sanitari dan fitosanitari (SPS), keperluan import serta eksport bagi produk pertanian selain mempertingkatkan kerjasama dalam bidang teknologi pertanian dan pelaburan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!