Agong, Permaisuri lancar aplikasi MyKariah
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Isnin berkenan berangkat menyempurnakan majlis pelancaran Aplikasi MyKariah di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan.
Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara pada Isnin, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah turut berangkat ke majlis tersebut.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi.
Aplikasi MyKariah adalah inisiatif Yayasan Pahang (YP) yang dibangunkan bersama oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan sokongan penuh kerajaan Negeri Pahang dalam meningkatkan peranan dan fungsi institusi masjid di seluruh Negeri Pahang sekali gus mentransformasi masjid sebagai pusat sehenti.
Menerusi aplikasi berkonsepkan data masa nyata itu, masjid di seluruh Pahang boleh mendapatkan rekod terkini golongan asnaf di kawasan kariah masing-masing, dalam memastikan pelbagai jenis bantuan seperti zakat, sedekah dan infaq disalurkan kepada penerima sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dengan pantas.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!