Tengkujuh cabaran pengusaha keropok

Baharin menunjukkan produk keropok losong dalam pek kedap udara yang lebih tahan lama.
Baharin menunjukkan produk keropok losong dalam pek kedap udara yang lebih tahan lama.
A
A
A

BACHOK - Harga ikan tinggi pada musim tengkujuh dianggap pengusaha keropok sebagai cabaran yang mesti dilalui setiap tahun.

Walaupun ia mengurangkan keuntungan, pengusaha dari Kampung Kubang Golok, Salwani Mat Yaman, 42, berkata, pengusaha perlu bersedia menghadapinya.

Katanya, harga bahan mentah isi ikan siap diproses untuk pembuatan keropok meningkat dua kali ganda.

"Saya baru sebulan mengusahakan keropok dan ini merupakan tengkujuh pertama yang saya lalui.

"Harga keropok tidak boleh dinaikkan, kena bertahan dengan harga biasa walaupun harga ikan mahal," katanya.

Salwani berkata, usahanya banyak dibantu suami, Baharin Abdullah, 48, yang merupakan peniaga ikan.

Bagi kerja-kerja pemprosesan pula katanya, abag ipar yang berasal dari Besut memberikan tunjuk ajar.



Salwani (kanan) dan Baharin mengurus kedai keropok mereka di Kampung Kubang Golok.

"Saya menghasilkan keropok lekor, keropok losong dan keropok 'chese' di bawah label Keropok Wani Baharin yang dijual terus kepada pelanggan dan pemborong.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah sambutan setakat ini amat menggalakkan, 40 hingga 50 kilogram keropok yang saya hasilkan dapat memenuhi permintaan," katanya.

Menurutnya, simpanan peribadi RM10,000 dijadikan sebagai modal memulakan perniagaan itu kerana yakin dengan bidang tersebut.

"Kami menjangkakan permintaan akan meningkat dalam beberapa bulan lagi dan ketika itu mungkin saya perlu menambah mesin dan peralatan berkaitan pemprosesan keropok.

"Saya berharap ada pihak yang membantu kami mengembangkan lagi perniagaan ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!