Butterworth BC sasar mara ke peringkat separuh akhir TGPLPA 2021
KELAB Badminton (BC) Butterworth bersedia untuk membuktikan kemampuan mereka dalam kejohanan Top Glove Purple League Pro-Am (TGPLPA) 2021 selepas muncul selaku pilihan pertama kumpulan A bagi saingan yang bakal berlangsung pada 21 Disember ini.
Pengurus pasukan Butterworth BC, Tommy Lee Sau Wah berkata, pasukannya yang membuat kemunculan buat kali pertama dalam TGPLPA, meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir.
“Kami berasa amat bertuah kerana pasukan kami merupakan pilihan pertama bagi saingan TGPLPA dan sasaran kami adalah mahu mara ke pusingan separuh akhir. Itu adalah kejayaan yang amat besar bagi kami.
“Kesemua pasukan yang berentap pada saingan kali ini adalah pasukan yang terbaik dan saya berharap agar pemain-pemain saya akan berjuang sebaik mungkin untuk kejohanan kali ini,”katanya.
Dengan perlawanan yang sengit bakal ditampilkan pasukan bertanding, saingan TGPLPA juga berjaya menarik minat ramai peminat sukan badminton dan juga menjadi satu platfom untuk mencungkil bakat-bakat muda.
Dalam pada itu, Tommy turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Malaysia Purple League (MPL) termasuk Ketua Pegawai Operasinya Ho Khek Mong, kerana mengadakan kejohanan tersebut.
“Mereka telah melakukan kerja yang sangat baik dalam merencana platform untuk pemain-pemain remaja di negara kita.
“Saya berharap agar pertandingan ini akan diteruskan untuk tahun-tahun yang mendatang kerana ianya akan memberi manfaat kepada pemain remaja di negara kita,” katanya.
Butterworth BC yang merupakan wakil tunggal dari utara akan membuat perhitungan dengan DSBC Labuan, Bangi City BC, Seremban BC, dan Serdang BC dalam saingan kumpulan A.
Sekiranya pasukan tersebut berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan, mereka akan bertemu dengan dua pasukan terbaik dari kumpulan B yang menghimpunkan Ampang Jaya BC, Jinjang BC, Petaling Jaya BC, Rawang BC dan Bandar Maharani BC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!