Cuepacs gesa kerajaan kaji semula elaun anggota bomba
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk mengkaji semula elaun Bayaran Insentif Bomba (BIB) sebanyak RM110 sebulan yang disifatkan tidak setimpal dengan bebanan dan risiko yang dihadapi anggota bomba.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diarahkan bekerja 12 jam tanpa sebarang tuntutan bagi tugasan lebih masa.
Menurutnya, jumlah RM110 itu bersamaan dengan RM1.10 sejam untuk waktu operasi syif 12 jam dan hanya sekitar 80 sen setiap jam jika bertugas untuk syif 24 jam.
“Mengikut rekod sebelum, elaun BIB yang diterima oleh anggota JBPM adalah sebanyak RM27.50 pada tahun 90-an sebelum dinaikkan kepada RM90 pada tahun 2000 dan RM110 pada tahun 2007.
“Sebelum ini, JBPM juga telah memohon untuk menaikkan elaun BIB kepada anggota mereka, namun sehingga kini ia masih belum diputuskan oleh kerajaan.
“Kadar elaun semasa yang diterima ini sangat kecil jika dikira pada masa ini dan perlukan pengkajian semula selepas 14 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Bandar Baru Segamat, Mohd Firdaus Sulaiman, 32, yang cedera parah terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat pada Sabtu lalu.
Mohd Firdaus bagaimanapun meninggal dunia di Hospital Segamat pada jam 4.15 pagi, Isnin lalu.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, tugas anggota bomba yang turut berada sebagai barisan hadapan negara memerlukan pengorbanan yang besar.
Jelasnya, walaupun nilai pengorbanan tersebut tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, ia perlulah setimpal dengan khidmat terutama mereka yang berkhidmat dalam bahagian operasi dan menyelamat.
“Peningkatan elaun perkhidmatan merupakan salah satu inisiatif yang boleh diberikan kerajaan bagi menghargai anggota JBPM selain memastikan segala peralatan yang diterima mematuhi piawaian keselamatan dan diselenggara dengan baik.
“Dari segi justifikasinya, memang wajar apa yang diminta ini jika dibandingkan dengan risiko yang dihadapi.
“Cuepacs berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan segera tanpa perlu melakukan kajian yang mungkin memakan masa,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Anggota bomba meninggal dunia terkena letupan kebakaran kilang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!