Bantu lebih banyak PKS agromakanan teroka pasaran luar negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membantu lebih banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan agromakanan untuk memasuki pasaran luar negara.

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, antaranya dari segi membantu meningkatkan produktiviti perusahaan PKS tempatan supaya dapat memenuhi permintaan pasaran luar.

“Perbincangan juga sentiasa dilakukan dengan lapan kaunselor pertanian di luar negara serta pihak kerajaan dan swasta di sana bagi menjalinkan diplomasi makanan,” katanya selepas melancarkan pengeksportan produk syarikat World Prominence Sdn Bhd ke pasaran United Kingdom dan Eropah di sini pada Isnin.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) MAFI menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menjalin kerjasama strategik dengan ejen pemasar di luar negara yang dilantik untuk mempromosi dan memadankan perniagaan tempatan dengan pemain industri luar negara bagi meningkatkan permintaan dan tempahan eksport.

“Di bawah RMK12 juga, pelbagai inisiatif kerjasama awam swasta dijalankan FAMA dan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan MAFI untuk membawa produk tempatan ke luar negara,” katanya.

Beliau sebelum itu menyempurnakan flag-off pengeksportan produk syarikat World Prominence Sdn Bhd ke pasaran United Kingdom dan Eropah di ibu pejabat syarikat itu di Batu Caves di sini.

Sebanyak 787 karton rempah masakan pracampur jenama SUDEE dan Maznah keluaran Syarikat World Prominence Sdn Bhd akan dipasarkan ke pasaran itu.

“Tempahan eksport ke United Kingdom kini sedang dalam pelayaran dan dijadualkan tiba awal Januari tahun depan manakala pelayaran eksport ke Eropah dijangka berlepas pada 16 Dis ini,” kata Haslina.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, produk itu akan dipasarkan menerusi tiga platform e-dagang di United Kingdom, Belanda dan Jerman selain akan dijual di pasar raya terpilih di Belanda, Jerman dan Switzerland.

Haslina berkata, bagi menembusi pasaran negara luar, usahawan tempatan perlu berinovasi supaya dapat memenuhi citarasa pasaran yang ingin ditembus bagi memudahkan penerimaan pelanggan.

Sementara itu, FAMA dalam kenyataan memaklumkan, World Prominence Sdn Bhd adalah antara peserta program pembangunan eksport anjuran MAFI melalui FAMA dan menerima tempahan eksport bernilai lebih RM200,000 untuk dipasarkan ke United Kingdom dan Eropah.

Pengeluar produk rempah masakan pracampur di bawah jenama SUDEE dan Maznah itu hari ini melancarkan eksport sebanyak 132 karton bagi pasaran United Kingdom dan 655 karton bagi pasaran Eropah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!