Perlawanan United menentang Brentford ditangguh
PERLAWANAN Liga Perdana Inggeris antara Manchester United menentang Brentford pada awal pagi Rabu terpaksa ditunda gara-gara terdapat kes jangkitan Covid-19 dalam pasukan kendalian Ralf Rangnick.
Perkara tersebut diumumkan Liga Perdana yang melaporkan beberapa pemain utama dan staf The Red Devils telah diuji positif Covid-19 pada Ahad dengan skuad yang bermain menentang Norwich City untuk pertembungan Liga Perdana pada Sabtu telah diasingkan.
"Keputusan untuk menangguhkan perlawanan Brentford-United diambil selepas mendapat nasihat daripada pakar perubatan susulan penularan wabak Covid-19 yang berterusan dalam skuad Manchester United.
"Operasi pasukan pertama (United) di Kompleks Latihan Carrington telah ditutup hari ini untuk membantu mengawal wabak selain bertujuan untuk meminimumkan risiko jangkitan selanjutnya dalam kalangan pemain dan kakitangan," katanya.
Dalam pada itu Brentford dalam satu kenyataaan memaklumkan, mereka menyambut baik keputusan badan pengelola liga untuk untuk menangguhkan perlawanan menentang United.
"Kami menghormati keputusan Liga Perdana dan mengakui bahawa kesihatan dan keselamatan kedua-dua pemain dan kakitangan kelab mesti sentiasa diutamakan.
"Justeru kami berharap semua yang dijangkiti dapat pulih dengan cepat dan berharap kami dapat menganjurkan semula perlawanan ini di Stadium Komuniti Brentford pada tahun baharu.
"Kepada penyokong, kami memohon maaf atas kesulitan dan gangguan yang berlaku di mana ia diluar kawalan pihak pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!