Sanggup tempuh 7 jam perjalanan demi tanggungjawab sebagai pengundi
KAPIT - Demi tanggungjawab, Asisten Superintendan Makkaranu Beddu sanggup menempuh perjalanan tujuh jam dari Miri ke Kapit untuk pengundian awal pilihan raya negeri Sarawak ke-12 hari ini.
Beliau yang ditemui sejurus selesai membuang undi berkata, biarpun keadaan cuaca yang tidak menentu di sepanjang perjalanan, namun ia tidak menghalang misinya untuk mengundi.
“Alhamdullillah selesai kita mengundi awal pada pagi ini sebenarnya saya telah bertugas di IPD Miri dan telah tiba di Kapit semalam demi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
“Ini adalah tanggungjawab dan saya sanggup datang untuk menjalani proses undi awal pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) kali ini,” katanya.
Selain itu, beliau menggesa agar anggota dan pegawai lain untuk sama-sama keluar mengundi sebelum ia ditamatkan jam 5 petang ini.
“Kepada mereka yang mendaftar sebagai pengundi awal datanglah beramai-ramai dan mainkan peranan anda sebagai pengundi,” tambahnya.
Proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit melibatkan 96 pegawai dan anggota serta isteri yang mengundi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram.
Ia turut dikawal 20 petugas dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melancarkan proses pengundian sepanjang hari ini.
Untuk rekod, 23,043 pengundi akan mengundi awal membabitkan 69 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Ia membabitkan 10,458 anggota dan pegawai polis serta pasangan manakala bakinya membabitkan anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Awani
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!