Sambutan meriah Warung Singgah Selangor untuk Konvoi #RasuahBusters
BANTING - [DIKEMAS KINI] Konvoi #RasuahBusters sangat bertuah sempena siri jelajah Lembah Klang baru-baru ini apabila menerima sambutan 'ala raja' daripada penduduk Kampung Kanchong Darat, dekat sini.
Sambutan dan layanan yang diberikan oleh Warung Singgah Selangor kepada peserta Konvoi #RasuahBusters ibarat ikatan kasih sayang pasangan adik beradik yang terpisah setelah sekian lama.
Meskipun ketibaan Konvoi #RasuahBusters disambut dengan hujan, namun sambutan meriah tetap diberikan oleh masyarakat setempat seumpama sebuah kenduri kahwin diadakan di kampung tersebut.
Pasukan konvoi diraikan dengan pelbagai juadah tradisional masyarakat Jawa iaitu tempe goreng, putu bambu, nasi lemak istimewa Warung Singgah Selangor serta air kelapa segar.
Lebih terharu, sebuah wau dibuat khas sempena kehadiran pasukan Rasuah Busters dan Sinar Harian ke Warung Singgah Selangor.
Bukan sekadar sebuah wau perhiasan semata-mata, sebaliknya wau tersebut mampu terbang ke awan biru dengan penuh megah.
Aktiviti singgah santun di Warung Singgah Selangor turut diserikan dengan kehadiran penyanyi legenda Herman Tino yang pernah membesar di Kampung Kanchong Darat.
Bagi pengasas Warung Singgah Selangor, Noor Irwan Abdullah, 45, kehadiran Konvoi #RasuahBusters adalah sangat dinantikan oleh masyarakat setempat kerana membawa mesej penting iaitu penentangan terhadap amalan buruk rasuah.
Katanya, satu penghargaan besar kepada Warung Singgah Selangor apabila dipilih menjadi salah satu lokasi untuk singgah santun Konvoi #RasuahBusters di Lembah Klang.
"Mewakili Warung Singgah Selangor dan masyarakat setempat di Kampung Kanchong Darat secara umumnya, kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian pasukan Konvoi #RasuahBusters memilih untuk bertandang ke kampung kami ini.
"Ia satu penghormatan kerana mesej antirasuah yang sangat penting ini dapat bergema di kampung kami.
"Terima kasih kepada pasukan Rasuah Busters kerana sudi menganjurkan pelbagai program menarik untuk penduduk kampung di sini dan kami memohon maaf sekiranya ada kekurangan," katanya penuh ikhlas.
Setelah hujan reda, aktiviti sukan santai iaitu menyepak bola ke dalam lubang diadakan dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!