Gesa penggunaan gas di kantin sekolah dipantau
KOTA BHARU - Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Negeri Kelantan mahu pihak autoriti turun padang meninjau pengurusan servis saluran gas di kantin-kantin sekolah terutama di sekolah berasrama.
Yang Dipertua Mapim Kelantan, Che Adinan Ghani berkata, langkah tersebut amat penting kerana pengurusan saluran gas di kantin sekolah didakwa tidak dilaksanakan dengan baik dan boleh mengancam nyawa.
"Kami dapat laporan mengatakan pengurusan dapur terutamanya melibatkan gas dan peralatan memasak di kantin tidak diselenggara dengan baik oleh pengusaha kantin.
"Tinjauan yang dilakukan di beberapa buah kantin juga mendapati perkara tersebut adalah benar dan amat membahayakan pengguna kantin, terutama pelajar," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Selasa.
Menurutnya, pihak sekolah perlu mengambil perhatian perkara berkenaan dan sentiasa peka serta melakukan tinjauan bagi memastikan pengusaha kantin menggunakan peralatan dapur dengan baik.
Beliau berkata, rata-rata tinjauan yang pihaknya lakukan adalah isu melibatkan saluran gas yang tidak diservis, kedudukan gas tidak berada di tempat yang sepatutnya dan pengurusan dapur tidak sistematik serta tidak mengikut prosedur sepatutnya.
"Sama juga dengan penggunaan gas, mereka telah diberikan panduan untuk menggunakan gas jenis tertentu bersesuaian dengan kapasiti penggunaan, namun disebabkan mahu mudah dan murah, perkara ini tidak diambil serius.
"Penyelia asrama dan kantin perlu maklumkan kepada pihak sekolah dan mungkin bawa ke peringkat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah supaya ia dapat diselesaikan dengan baik.
"Nyawa anak-anak kita ibarat telur di hujung tanduk. Bukan itu saja, ia juga membahayakan pekerja pembersihan di sekolah. Mereka hanya menjalankan tugas saja, namun ada risiko.
"Kalau berlaku renjatan elektrik, secara automatik akan padam. Paip air kalau bocor, automatik air perlahan, tapi kalau gas, akan meletup. Risiko ini bukan kecil, jadikan pengalaman sedia ada sebagai pengajaran. Jangan ambil remeh,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!