Permohonan bicara 1MDB secara hibrid ditolak
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan pihak pendakwaan supaya prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dibuat secara dalam talian dan fizikal (hibrid).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menyatakan perkara itu dalam prosiding kes menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Menurutnya, selepas mempertimbangkan hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, buat masa ini mahkamah menolak permohonan itu.
"Namun saya tidak menolak sekiranya prosiding sedemikian dijalankan di masa depan,” katanya.
Hakim Sequerah kemudiannya menetapkan Khamis ini untuk perbicaraan bersambung semula.
Semasa prosiding, peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Najib berkata, status MySejahtera Najib dan peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masih kekal seperti mana Isnin.
"Status MySejahtera Datuk Seri Najib menunjukkan warna kuning manakala dan Tan Sri Muhammad Shafee jingga iaitu berada dalam kategori kontak rapat dan kasual dengan seorang peguam yang dijangkiti Covid-19.
"Disebabkan perkara itu, mereka berdua tidak dibenarkan masuk ke mahkamah," katanya.
Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mencadangkan perbicaraan kes dilaksanakan menerusi hibrid.
Katanya, ia berdasarkan pindaan Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman yang membenarkan perbicaraan mahkamah dijalankan secara dalam talian.
Beliau berkata, hakim dan pasukan pendakwaan akan hadir ke mahkamah seperti biasa dan mengikuti prosiding secara fizikal, sementara Najib serta pasukan pembelaannya secara dalam talian.
Bagaimanapun, Hariharan membantah cadangan itu dengan mengatakan bahawa, untuk menyoal balas saksi secara dalam talian adalah tidak adil dan prejudis kepada anak guamnya.
Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!