Manifesto GPS beri penekanan teknologi, digital ekonomi

GPS
GPS
A
A
A

KUCHING - Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) memperlihatkan pelbagai usaha merancakkan dan meneruskan pembangunan negeri terutama dengan penekanan terhadap penggunaan teknologi dan juga ekonomi digital.

Antara aspek penting bagi teknologi dan ekonomi digital yang terdapat dalam 34 inisiatif manifesto GPS itu adalah Memacu Pembangunan Ekonomi Sarawak Melalui Agenda Ekonomi Digital, Memperluaskan Liputan Telekomunikasi dan Kemudahan Digital serta Merancakkan Pembangunan Bandar Sejahtera dan Pintar.

Penganalisis Politik Prof Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, manifesto GPS mudah untuk diterjemahkan dari segi tindakan kerana ada yang sudah dibuktikan.

“Memang ada yang berkata perkara ini masih belum ada di pedalaman, namun usaha ke arah itu sudah digerakkan. (Ketika ini) banyak menara telekomunikasi dibina dan sedang diperluaskan di seluruh Sarawak. Pembinaan menara ini mempunyai berkesinambungan dengan hasrat kerajaan untuk mendigitalkan sektor ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga yakin penggunaan teknologi dan pendekatan digital ekonomi akan tercapai sekurang-kurangnya 85 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Walaupun tidak sepenuhnya, tapi kita tahu ia boleh dilaksanakan, dan akhirnya akan memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan pembangunan itu sendiri.

“Begitu juga dengan cadangan pada masa kini untuk membuka syarikat penerbangan sendiri (oleh kerajaan negeri) bagi memudahkan kita memasarkan produk-produk pertanian. Bukankah itu yang dimahukan oleh rakyat,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata beliau menyifatkan manifesto GPS sebagai ‘winning manifesto’ kerana ada sebahagian yang dijanjikan sudah terlaksana selepas pilihan raya lepas.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN11, manifesto GPS (dulu bersama Barisan Nasional) dengan tema 'Beri Peluang Kepada TeamAdenan #theAdenanWay' telah menggariskan 15 fokus utama berpaksikan rakyat, merangkumi janji-janji dan ikrar kepada rakyat dalam mencapai aspirasi bersama agar Sarawak mengecapi lebih keamanan, kemajuan dan juga kemakmuran.

“Manifesto ini masih lagi terpakai untuk pilihan raya kali ini, selain dilihat sebagai simbol kepada kesinambungan kerja-kerja serta hasrat yang telah disasarkan serta diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Ketua Menteri Sarawak kelima),” katanya.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir yang senada dengannya berkata, strategi GPS yang bersifat serampang dua mata dengan menekankan teknologi dan aksesibiliti, sekali gus akan memberikan kesan daripada segi sosio ekonomi, pelancongan dan pendidikan.

“Salah satu yang menjadi aspirasi rakyat adalah prasarana yang membabitkan jalan raya, kemudahan asas seperti air bersih dan bekalan elektrik, lebih-lebih lagi perkhidmatan internet di kebanyakan kawasan di Sarawak.

“Tumpuan kerajaan adalah untuk tangani isu ini, ada komitmen jitu di situ kalau kita lihat dari segi peruntukan belanjawan untuk empat tahun berturut-turut yang berjumlah lebih RM40 bilion, dengan 60 peratus untuk luar bandar,” katanya.

Secara keseluruhannya, Jeniri berkata, manifesto GPS itu mampu dicapai dengan komitmen dan keazaman serta kestabilan politiknya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!