Perjanjian CCA beri peluang warga Sabah ceburi industri minyak, gas
KOTA KINABALU - Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara kerajaan Sabah dengan Petroliam Nasional Malaysia (Petronas) baru-baru ini, mampu memberi impak ekonomi yang positif selain membuka peluang besar bagi warga negeri itu menceburi industri minyak dan gas.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Sheikh Junaidi Sheikh Mohammad berkata CCA itu akan memberi kelebihan dari segi limpahan ekonomi tempatan terutama dalam melahirkan lebih ramai pemain industri dan tenaga pakar melibatkan anak-anak Sabah.
“Ini turut memberi impak lebih besar kepada ekonomi Sabah termasuk mewujudkan lebih banyak syarikat-syarikat (Sabah) yang berteraskan perniagaan minyak dan gas berbanding kebanyakannya dari Semenanjung (yang beroperasi di sini).
“Malah, melalui CCA juga, kerajaan Sabah akan lebih cekap dalam menguruskan sumber minyak dan gas melalui kerjasama pintar antara Petronas dan kerajaan negeri,” katanya pada Bernama.
Perjanjian CCA tersebut telah dimeterai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, pada 7 Disember lepas dan melakar lembaran baharu dalam aspek kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri serta Petronas bagi membangunkan industri terbabit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyifatkan kerjasama strategik itu akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di Sabah manakala Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri iaitu SMJ Petroleum Sdn Bhd hasil daripada CCA itu.
Mengulas selanjutnya, Sheikh Junaidi juga mencadangkan supaya kerajaan negeri mewujudkan satu klausa dalam CCA yang mensyaratkan syarikat luar yang berurusniaga di Sabah dalam bidang terbabit perlu mempunyai rakan kongsi kalangan anak tempatan.
“Kerajaan negeri juga boleh memperkenalkan Program Sangkutan yang mana syarikat-syarikat minyak dan gas dari Sabah dijadikan syarikat angkat kepada syarikat-syarikat dari Semenanjung atau Sarawak.
“Aspek ini membantu dari segi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran syarikat-syarikat tersebut dalam perniagaan minyak dan gas.
“Selain itu, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang berteraskan minyak dan gas juga perlu dilibatkan secara langsung dalam projek-projek terbabit yang dibawa masuk oleh Petronas ke Sabah,” katanya.
Menurutnya, sejajar dengan kedudukannya yang kaya hasil bumi, Sabah wajar memanfaatkan perolehan hasil tersebut untuk membangunkan negeri serta membantu rakyat, termasuk dalam usaha mengurangkan kemiskinan yang mencatat peratusan agak tinggi di Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!