Syed Saddiq lega Muda didaftar secara sah

Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman puas hati dengan keputusan mahkamah arah KDN daftarkan parti itu dalam 14 hari.
Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman puas hati dengan keputusan mahkamah arah KDN daftarkan parti itu dalam 14 hari.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas lebih setahun berjuang akhirnya hasrat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk mendaftarkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara sah akhirnya hampir menjadi realiti.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebentar tadi, mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan Muda didaftarkan sebagai parti politik secara dalam tempoh 14 hari, selain diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

Syed Saddiq yang juga Pengasas Muda berkata, keputusan itu bukan semata berpihak kepada Muda semata-semata, tetapi kepada sistem demokrasi negara.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan di zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah berkata dengan keputusan itu Muda kini mempunyai tempat untuk menyuarakan pendapat, kritikan dan cadangan untuk membangunkan negara tercinta.

"Hari ini hari yang penuh beremosi kerana tahun ini adalah tahun yang penuh rintangan dan cabaran tetapi melalui keputusan ini, kami ada iltizam dan semangat untuk berjuang demi negara tercinta selepas setahun setengah melalui cabaran serta ugutan (dalam mendaftarkan Muda).

"Keputusan hari ini bukan ingin memusnahkan Malaysia, tetapi membangunkan negara, memperkasa politik khidmat, mengangkat suara anak muda dan membina negara seperti sebuah rumah yang mewakili seluruh rakyat Malaysia.

"Perjalanan kami bermula hari ini dan kita akan buktikan pada rakyat bahawa kami ada untuk bekerja buat mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri prosiding kes berkenaan hari ini.

Untuk rekod, sebelum ini mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menolak rayuan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 Ogos 2020, Syed Saddiq mengesahkan beliau tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berikutan itu, Syed Saddi, mengesahkan beliau akan menubuhkan sebuah parti politik baharu berbilang kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda.

Tidak lama selepas itu Syed Saddiq kemudiannya secara rasmi membuat permohonan pendaftaran parti baharu dikenali sebagai Muda di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Putrajaya, pada 19 September 2020.

Malah, Syed Saddiq, dalam sidang medianya menjelaskan keahli parti Muda adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur, bangsa dan agama.

Bagaimanapun, permohonan Syed Saddiq untuk mendaftarkan Muda sebagai parti politik sah tidak diluluskan ROS dan Menteri Dalam Negeri (MDN) dengan pelbagai alasan termasuk tidak mengisi borang dengan betul.

Berikutan itu, pada 24 Ogos lalu, Syed Saddiq dan 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran yang baharu bagi mencabar keputusan MDN dan ROS yang menolak rayuan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik.

Syed Saddiq dan 12 individu itu memohon suatu deklarasi bahawa permohonan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah Pertubuhan di bawah kategori parti politik adalah teratur dan mematuhi segala keperluan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mereka juga memohon suatu perintah mandamus untuk kedua-dua responden mendaftarkan MUDA sebagai sebuah pertubuhan dalam kategori pertubuhan politik dalam masa 14 hari dari tarikh perintah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!