Tujuh usahawan B40 terima bantuan I-Seed
RAWANG - Tujuh usahawan B40 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang telah menerima bantuan perniagaan berjumlah RM50,000 di bawah program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, bantuan berbentuk barangan perniagaaan itu diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi membantu peniaga terkesan dengan pandemik.
Menurut beliau, pemilihan penerima adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan sebelum siasatan dilakukan oleh pegawai penyelaras dilantik bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.
"Antara kriteria tersebut termasuklah mereka berpendapatan di bawah RM3,000 dengan bantuan disalurkan mengikut keperluan sehingga RM10, 000.
"Ada antara mereka yang hilang pekerjaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu menjana pendapatan mengusahakan biskut di rumah. Jadi, kita bantu dengan membeli ketuhar dan alat-alat membuat kuih bersesuaian," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, kerajaan negeri telah melaksanakan program I-Seed pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1 juta dan akan diteruskan pada tahun hadapan.
Tambahnya, kerajaan negeri turut mempunyai program yang sama iaitu 'Blueprint' yang permohonannya dibuka untuk semua.
"Kedua-dua program ini bertujuan membantu golongan yang berpendapatan rendah mengembangkan perniagaan mereka.
"Ini merupakan langkah kerajaan bagi menjadikan rakyat berdikari dan mempu mencari sumber pendapatan ketika mendepani fasa Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!