ADUN bawa ayam segar ke sidang DUN

Muhamad Arafat mengangkat seekor ayam segar ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Selasa.
Muhamad Arafat mengangkat seekor ayam segar ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa dikejutkan dengan tindakan wakil rakyat, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) membawa seekor ayam segar ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak.

Muhamad Arafat menjelaskan tindakan itu dilakukan bagi menegur Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) yang merupakan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak supaya mengambil berat terhadap masalah kenaikan harga barang.

Menurutnya, ayam tersebut dibeli dari sebuah premis di kawasan DUN Gunung Semanggol bagi memperlihatkan harga yang tinggi iaitu sebelum 7 Disember lebih kurang RM10 sekilogram dan terkini berjumlah RM9.30 sekilogram berdasarkan harga kawalan musim perayaan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Saya nak hadiahkan ayam ini sebab tak ada tindakan yang diambil oleh exco. Saya nak tanya, ada tak dialog diadakan bersama peruncit, pengusaha dan pemborong untuk melihat di mana masalah sebenar kenaikan harga ini?

"Apa peranan exco, adakah ada tindakan diambil? Saya sendiri buat kerja macam exco contohnya kita panggil pemborong, peruncit dan rakyat untuk dapatkan maklumat di mana salah silapnya di mana puncanya ke arah penyelesaian," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2022 Perak ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Selasa.

Muhamad Arafat berkata, exco kerajaan negeri berkaitan diharap agar memahami keperitan rakyat akibat kenaikan harga barangan ketika ini.

Tindakan beliau itu juga menarik perhatian beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain yang mencelah ketika sesi perbahasan tersebut.

Sementara itu, ketika sidang akhbar selepas perbahasan itu, beliau menjelaskan isu harga ayam itu ditujukan kepada Razman kerana kenaikan harga barang berpunca di peringkat ladang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, disebabkan itu perlu diadakan sesi dialog dengan pengusaha dan mencari penyelesaian dengan mengawal harga di peringkat ladang sama ada pemberian subsidi atau sebagainya.

Dalam pada itu, Muhamad Arafat turut mencadangkan agar kerajaan kembali melantik seorang wakil kampung di dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berbanding tiga orang mewakili setiap parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!