Lelongan perkakas kediaman Nur Sajat cecah harga RM132,000

Peguam Zeti Zukifili (kiri) dan anak guamnya, Nurwati Hussin menjawab soalan wartawan selepas proses lelongan awam perkakas milik Nur Sajat di luar kediaman usahawan kontroversi itu pada Selasa. - Gambar Astro Awani
Peguam Zeti Zukifili (kiri) dan anak guamnya, Nurwati Hussin menjawab soalan wartawan selepas proses lelongan awam perkakas milik Nur Sajat di luar kediaman usahawan kontroversi itu pada Selasa. - Gambar Astro Awani
A
A
A

PETALING JAYA - Hampir 40 barangan perabot serta perkakas rumah milik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat di Jalan Polo Kota Damansara di sini, dilelong hari ini.

Antara barangan usahawan kosmetik terkenal itu yang dilelong ialah set sofa, set meja makan, set bilik tidur, penghawa dingin, dapur, mesin basuh dan grand piano.

Menurut peguam plaintif dari NHA Advocates & Solicitors, Zeti Zukifili, proses bidaan yang bermula pukul 11 pagi tadi disertai oleh lapan pembida.

Kata Zeti, kesemua lapan pembida itu membida barangan rumah pada harga permulaan sebanyak RM77,650.

Bagaimanapun, tambah Zeti, seorang pembida berjaya membida kesemua barangan terbabit pada harga RM132,000.

"Alhamdulilah kita dapat seorang pembida yang berjaya beli pada harga RM132,000. Bermula RM75,000 dan (harga) naik sampai RM132,000,” jelas Zeti kepada Astro AWANI ketika ditemui di pekarangan kediaman Nur Sajat.

Zeti turut berkata, pembida yang berjaya membida perkakas di kediaman itu dikenali sebagai Mohamad Syazwan.

“Seorang pembida kena beli semua barang tak boleh beli asing," katanya sambil memaklumkan lelongan awam itu hanya melibatkan perkakas dan bukannya rumah atau kereta Nur Sajat.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hujung November lalu mengarahkan harta milik usahawan kosmetik yang diburu itu disita.

Tindakan itu bertujuan bagi menuntut pampasan berjumlah RM200,000 yang gagal dibayar Nur Sajat kepada bekas stokisnya, Nurwati Hussin dan Mohamed Syakir Hussin dari Owa Resources.

Lelongan aset tersebut merupakan cara penyelesaian bagi menebus pampasan yang perlu dibayar oleh defendan.

Sementara itu, Nurwati berkata, dia akan berbincang dengan peguamnya berhubung jumlah keseluruhan jualan.

"Apabila proses ini selesai kami akan tengok berapa jumlahnya seharusnya kita akan kira dengan peguam, jika baki tidak mencukupi mungkin kami akan buat satu lagi proses.

"Tapi kita akan bincang dengan pihak peguam untuk satu jalan penyelesaian lebih baik," katanya kepada Astro AWANI.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!