'Kompaun RM500 kalau selongkar sampah'
PASIR MAS - Individu yang bertindak menyelongkar sampah yang telah diikat dan dibuang ke dalam tong boleh dikenakan tindakan oleh pihak Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).
Yang Dipertua MDPM, Mohd Anis Hussein berkata, dibawah Undang-Undang Kecil, individu yang ditangkap dan didapati bersalah melakukan tindakan itu boleh dikenakan kompaun sehingga RM500.
"MDPM sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati terlibat dalam melakukan kesalahan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong Royong Bersama Penduduk Kampung Tok Sangkut di Masjid Al-Falah.
Pada program itu, Mohd Anis turut bermandi peluh bergotong-royong bersama-sama penduduk kampung.
Menurutnya, tindakan menyelongkar sampah yang telah dibuang ke dalam tong boleh menimbulkan persekitaran kurang baik selain mencemarkan imej.
Katanya, sikap sebegitu perlu dikikis kerana ia boleh mendedahkan kepada masalah penyakit berjangkit.
"Saya akui ada orang menjadikan sampah sebagai sumber rezeki dan pendapatan.
"Nak geledah boleh, tapi pastikan kita ikat dan kemas balik sampah yang telah digeledah itu," katanya.
Mohd Anis berkata, tindakan itu juga secara tidak langsung akan memudahkan tugas kakitangan MDPM untuk membersihkan kawasan tersebut.
Katanya, sikap saling bertanggungjawab ini akan memastikan persekitaran menjadi lebih bersih dan selamat.
"Ini amat bertepatan dengan kempen yang sedang digerakkan oleh kerajaan negeri iaitu Kelantanku Bersih dan Comel," katanya.
Mohd Anis berkata, beliau menyeru seluruh warga Pasir Mas untuk sama-sama menjayakan kempen tersebut dengan sebaik mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!