Penerimaan dos penggalak di Sabah perlahan
PUTATAN - Pemberian dos penggalak Covid-19 di Sabah dilihat masih kurang mendapat sambutan dalam kalangan penerima yang layak termasuk mereka yang telah diberi janji temu untuk mendapatkan dos penggalak terbabit.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini telah mencapai sasaran namun bagi pemberian dos penggalak ia dilihat masih perlahan.
"Sekarang ini kita memasuki fasa pemberian dos penggalak dan kalau kita lihat setakat hari ini nampaknya kadar orang ramai yang layak untuk menerima dos penggalak ini agak perlahan.
"Kita faham kenapa kadar penerimaan dos penggalak ini agak perlahan, ia disebabkan dalam prosedur operasi standard (SOP) kita hanya memerlukan lengkap dua dos dan tidak ada keperluan untuk lengkap tiga dos.
"Bagaimanapun, kita kena ingat bahawa varian virus Covid-19 ini sentiasa bermutasi. Jadi dengan adanya dos penggalak ini maka kita percaya sistem pertahanan badan kita akan meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Penutupan Siri jelajah Taklimat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) seluruh Sabah Tahun 2021 pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan berkaitan penerimaan dos penggalak dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat meminta supaya pemimpin di peringkat akar umbi termasuk UPMM supaya memainkan peranan membantu menguar-uarkan keperluan penerimaan dos penggalak bagi individu yang layak menerimanya.
"Kita minta kepada UPMM untuk turun menguar-uarkan kepada rakyat supaya tampil ke hadapan apabila menerima janji temu untuk menerimanya," ujarnya.
Sebelum itu, Shahelmey dalam ucapanya berkata, UPMM mempunyai peranan yang begitu besar dalam usaha menjayakan program 'outreach' untuk menjejaki penduduk di kawasan daerah yang mempunyai statistik rendah menerima vaksin.
"Peranan UPMM begitu jelas sekali terutama apabila kita melakukan program-program outreach menjejaki penduduk yang belum menerima vaksin sehingga mereka menerima vaksin.
"Enam daerah yang mempunyai statistik pencapaian yang rendah menerima vaksin seperti Kinabatangan, Sandakan, Tongod, Kunak, Tawau dan juga Nabawan. Jadi UPMM adalah penggerak utama membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk menjejaki serta mengenal pasti mana-mana individu yang layak untuk diberi vaksin," katanya.
Hadir sama dalam program itu ialah Pengarah UPPM Sabah, Datuk Matbali Musah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!