Sektor koperasi disaran beri tumpuan pembangunan teknologi

Majlis jalinan kerjasama sistem penghantaran dan penerimaan bungkusan secara aplikasi internet antara ASEAN Co-operative Organisation (ACO), Koperasi 1Malaysia Berhad dan PARCEL365 Sdn Bhd berlangsung di Petaling Jaya pada Selasa.
Majlis jalinan kerjasama sistem penghantaran dan penerimaan bungkusan secara aplikasi internet antara ASEAN Co-operative Organisation (ACO), Koperasi 1Malaysia Berhad dan PARCEL365 Sdn Bhd berlangsung di Petaling Jaya pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Penyertaan sektor koperasi bagi usaha pembangunan teknologi khususnya dalam aspek perisian aplikasi perkhidmatan untuk manfaat pengguna perlu diperkasakan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihak koperasi juga sewajarnya bersama-sama menjadi rakan strategik dengan menyertai pembangunan teknologi mengikut keperluan dan kesesuaian.

Menurutnya, menerusi kepakaran dan kemudahan modal, banyak perkara yang boleh dilakukan untuk memenuhi keperluan rakyat.

"Pembangunan aplikasi internet perlu bergerak seiring dengan pembangunan teknologi semasa dengan fokus untuk memudahkan orang ramai.

"Dalam usaha untuk memperkenalkan pelbagai aplikasi untuk kemudahan pengguna, saya meminta agar sektor koperasi juga memberikan tumpuan dalam usaha pembangunan aplikasi ini.

"Mungkin ada dalam kalangan anggota koperasi yang berkepakaran dalam ilmu pembangunan perisian, pastinya dapat dimanfaatkan dan dilaksanakan secara kolaborasi strategik.

"Saya pasti ruang yang ada boleh membawa pulangan yang baik kepada koperasi dan anggota kerana dengan semangat bekerjasama ini dapat memberi sinergi yang jitu dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis jalinan kerjasama sistem penghantaran dan penerimaan bungkusan secara aplikasi internet antara ASEAN Co-operative Organisation (ACO), Koperasi 1Malaysia Berhad dan PARCEL365 Sdn Bhd di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas usaha jalinan kerjasama itu, beliau percaya produk perkhidmatan PARCEL365 dapat membantu mempermudahkan urusan penghantaran dan penerimaan bungkusan.

"Saya dimaklumkan bahawa perkhidmatan PARCEL365 ini disediakan bagi mengatasi masalah serta cabaran yang dialami oleh industri penghantaran dan penerimaan bungkusan terutamanya dari segi keselamatan bungkusan yang dihantar atau yang diterima," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, produk 'Smart Locker' direka bentuk untuk memastikan supaya keselamatan barangan yang dibeli secara dalam talian lebih terjamin.

Beliau berkata, sistem aplikasi turut dibangunkan bagi kegunaan produk tersebut.

"Aplikasinya dicipta di Malaysia dan kita juga menerima permintaan daripada negara-negara lain.

"Kita percaya menerusi perkhidmatan ini dapat menyelesaikan masalah seperti kehilangan dan kecurian barang yang dihantar," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!