Bajet 2022 perkasa golongan wanita

No Image Caption
A
A
A

Sumbangan kaum hawa dalam sektor ekonomi penting dalam pembangunan negara.

SHAH ALAM – Bila disebut perihal seorang bernama wanita, merekalah insan yang begitu istimewa dan patut dihargai.

Bahkan tidak dapat dinafikan penglibatan serta sumbangan kaum wanita khususnya dalam sektor ekonomi sangat penting dalam membantu kerajaan membangunkan negara.

Buat masa ini, golongan wanita memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama, namun masih terdapat 252 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang belum mempunyai komposisi pengarah wanita.

Justeru, bagi mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam.

No Image Caption

Ia sebagaimana diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu.

Beliau memberitahu, cadangan tersebut dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kerajaan turut menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, antaranya latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.

“Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian.

“Seramai 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal akan meraih manfaat daripada program ini,” ujarnya.

No Image Caption

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM13 juta khas untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, termasuk kewujudan 100 perjawatan baharu.

Bagi melindungi kebajikan lebih ramai mangsa keganasan rumah tangga, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat serta bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita.

“Dari segi kesihatan wanita juga, lebih RM11 juta turut disediakan sebagai subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks kepada wanita,” katanya.

Noor Zeeta
Noor Zeeta

Berhubung dengan sejauhmana wanita diberi peranan dalam hal berkaitan kerjaya dan jawatan, Pengarah Pusat Pembangunan Koperasi, Noor Zeeta Mohd Ramli berkata, kekuatan dan keupayaan wanita kini tidak dapat dinafikan dan sangat relevan memandangkan ramai wanita yang berpendidikan tinggi di Malaysia.

Jelasnya, peluang kerjaya terbuka luas berikutan negara berpegang kepada prinsip kerjasama, perpaduan dan tiada perbezaan gender selain mengutamakan produktiviti.

“Dari aspek jawatan pula, semakin ramai wanita yang memegang jawatan penting dalam organisasi, malah memiliki perusahaan sendiri.

“Kredibiliti, keyakinan dan inovasi serta berani mengambil risiko antara elemen utama kemampuan wanita untuk berada sebaris dengan pemimpin lelaki,” katanya kepada Sinar Harian.

No Image Caption

Selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan Keluarga Malaysia yang sejahtera, Noor Zeeta berkata, peranan golongan wanita dipertingkat melalui peruntukan khas bagi pembangunan wanita.

Secara umum, katanya, syarat wajib diberikan kepada syarikat bermodal besar untuk melantik wanita berjawatan pengarah, di samping menggalakkan program kepimpinan dan keusahawanan wanita.

”Kerajaan juga prihatin kepada keselamatan dan fasiliti (kemudahan) wanita dengan mengadakan pusat sokongan sosial, rumah perlindungan dan kesedaran terhadap kebersihan.

“Justeru, keperluan dan kepentingan wanita dalam setiap lapisan masyarakat diberi keutamaan dan perhatian yang serius,” ujar Noor Zeeta.

Dr Maslina
Dr Maslina

Sementara itu, Pensyarah Kanan Gender dan Pembangunan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Maslina Mohammed Shaed berkata, semenjak tahun ‘Memperkasakan Wanita’ dilancarkan pada 2018, banyak inisiatif dilakukan kerajaan untuk memperkasakan wanita dan merapatkan jurang gender di Malaysia.

Menurutnya, ramai wanita kini diberi kepercayaan untuk memegang jawatan tinggi dan jasa bakti mereka semakin dihargai serta diiktiraf.

“Justeru, saya percaya, agenda ‘Woman on Board’ dalam Bajet 2022 dapat melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berkaliber tinggi dan berwibawa.

“Bajet 2022 ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG-ke 5) yang menekankan kesamarataan peranan antara gender di dunia.

“Saya memuji usaha-usaha yang dilakukan kerajaan dalam pemerkasaan wanita di Malaysia,” ujar Maslina.

Faridah Hanum
Faridah Hanum

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Zara Awliya, Faridah Hanom Samsudin, bantuan MyKasih Kapital yang merangkumi modal perniagaan, bimbingan dan latihan yang menggalakkan perniagaan juga satu inisiatif yang bagus, terutama kepada wanita yang mahu memulakan perniagaan dan perkukuhkan ilmu dalam perniagaan.

“Ini kerana, ramai daripada mereka memerlukan bantuan seperti ini terutama yang terkesan sewaktu pandemik Covid-19. Jadi, ia sedikit sebanyak akan memberi kekuatan emosi dan juga ekonomi keluarga.

“Bantuan lain yang melibatkan sokongan diri juga mampu membantu golongan wanita,” katanya.

Raziatul Ain
Raziatul Ain

Eksekutif Jualan, Raziatul Ain Zamri pula berkata, Bajet 2022 merupakan peluang yang baik untuk menangani ketidaksamaan asas yang menghalang pembangunan dan kesejahteraan.

“Ini dapat dilihat apabila ia turut menyentuh soal gender termasuk keganasan terhadap wanita, pekerjaan, kesihatan dan perlindungan sosial,” katanya.

Selain itu, menurutnya, cadangan kerajaan memperuntukan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita juga merupakan satu suntikan semangat bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi menerusi latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.

“Justeru, ia merupakan satu rancangan bajet yang baik dan harus direbut oleh wanita kerana program ini dijangka boleh menggerakkan wanita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!