Seorang maut, lima selamat bot terbalik di Tanjung Dawai

Keadaan bot yang dinaiki enam pemancing yang terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Jeti Tanjung Dawai, di sini, pada Selasa.
Keadaan bot yang dinaiki enam pemancing yang terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Jeti Tanjung Dawai, di sini, pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemancing lemas manakala lima lagi selamat apabila bot yang dinaiki mereka terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Jeti Tanjung Dawai di sini pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu mangsa, Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38, yang memakai jaket keselamatan ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas.

Menurutnya, lima mangsa selamat ialah tekong bot, Che Roslan Hashim, 49, bersama empat kru, Mohd Firdaus Zainal Abidin, 36, Engku Mohamad Farizam Fadilah, 19, Zulkifli Ahmad, 45, dan Hafizul Ajis Samsudin, 31.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada jam 11.35 pagi selepas menerima panggilan daripada pemilik bot terbabit, Mohamad Amirul Asyraf sekitar jam 11.15 pagi mengenai insiden.

"Pemilik bot turut memaklumkan seorang daripada mangsa telah hilang seterusnya Bot Perkasa 1221 Maritim Pulau Pinang dan bot Perkasa 1226 Zon Maritim Kuala Kedah telah diatur gerak ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Noor Azreyanti berkata, pihaknya kemudiannya menemukan bot berkenaan dalam keadaan terbalik manakala semua mangsa ditemui memakai jaket keselamatan termasuk mangsa yang lemas tersebut.

"Susulan itu, mangsa yang meninggal dunia dibawa balik ke Jeti Tanjung Dawai untuk proses sanitasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Beliau memberitahu, seorang mangsa yang cedera ringan oleh dibawa bot nelayan tempatan ke jeti berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut manakala empat lagi mangsa dibenarkan pulang.

Artikel Berkaitan:

Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Zon Maritim Kuala Kedah meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!