Angkasa perkasa rantaian ekosistem kredit koperasi

Abdul Fattah ketika berucap pada Majlis Mini Konvensyen Ekosistem Koperasi Kredit 2021, di Royale Chulan Hotel pada Selasa. - FOTO Sinar Harian/ Mohd Halim Abdul Wahid
Abdul Fattah ketika berucap pada Majlis Mini Konvensyen Ekosistem Koperasi Kredit 2021, di Royale Chulan Hotel pada Selasa. - FOTO Sinar Harian/ Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

PETALING JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melalui sektor kewangannya telah membangunkan rantaian ekosistem kredit koperasi melalui kemudahan program rangsangan modal yang menyediakan platform untuk ahlinya mendapatkan modal.

Presiden Angkasa, Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini sebanyak RM566.9 juta pembiayaan diluluskan dengan pengeluaran pembiayaan sebanyak RM227.5 juta.

Bagi memudahkan ahli koperasi mendapatkan pembiayaan, beliau berkata, pihaknya telah membangunkan Portal MyAzzahra yang merupakan platform sehenti atas talian.

“Ahli koperasi berpeluang mendapatkan maklumat tawaran pembiayaan daripada koperasi kredit di Malaysia.

“Sehingga kini, 11 koperasi kredit telah menyertai Azzahra dan saya menyeru koperasi ini merebut peluang untuk memasarkan produk pembiayaan mereka.

“Sektor kewangan dan kredit merupakan fungsi penting dan menyumbang lebih 87 peratus kepada perolehan sektor koperasi negara ini,” katanya pada majlis Mini Konvensyen Ekosistem Koperasi Kredit 2021 di sini pada Selasa.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Abdul Fattah memberitahu, ekosistem kredit koperasi yang dibangunkan sektor kewangan itu tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada potongan gaji semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Gimik pelancaran Mini Konvensyen Ekosistem Koperasi Kredit 2021 daripada Noh (dua dari kiri) di Royale Chulan Hotel. - FOTO Sinar Harian/ Mohd Halim Abdul Hamid
Gimik pelancaran Mini Konvensyen Ekosistem Koperasi Kredit 2021 daripada Noh (dua dari kiri) di Royale Chulan Hotel. - FOTO Sinar Harian/ Mohd Halim Abdul Hamid

“Angkasa kini sedang mengorak langkah untuk membudayakan ekosistem ini kepada koperasi kredit dan gerakan koperasi secara keseluruhannya,” ujarnya.

Sementara itu, Noh ketika berucap merasmikan majlis berkenaan berkata, ekosistem kredit koperasi yang dibangunkan khas oleh Angkasa mampu membawa perkhidmatan kredit koperasi di Malaysia kepada satu standard dan kualiti setara dengan institusi pembiayaan yang lain.

“Mini konvensyen ini bakal menjadi satu titik permulaan kepada pengukuhan sektor kewangan koperasi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih jitu dan mampan,” katanya.

Berhubung platform Azzahra pula, beliau berkata, ia secara tidak langsung memudahkan ahli koperasi mendapatkan pakej pembiayaan dengan kadar keuntungan yang lebih kompetetif, selain menyelesaikan isu jerat ‘ah long’ tidak berlesen yang semakin berleluasa.

“Berdasarkan laporan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sebanyak 477 aduan diterima tahun ini dan 300 daripadanya melibatkan koperasi kredit.

“Aduan yang kita peroleh ini membabitkan ahli koperasi yang sudah habis membayar hutang tetapi gajinya masih lagi dipotong. Mereka juga menjadi mangsa kerana sebelum ini meminjam melalui orang tengah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!