Harga bahan binaan terus melambung, kontraktor bakal gulung tikar
ALOR SETAR - Kontraktor kecil khususnya kontraktor Melayu berdepan risiko gulung tikar sekiranya kerajaan tidak campur tangan bagi menangani segera isu kenaikan harga bahan asas sektor pembinaan.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, ini kerana terdapat harga barangan terbabit melambung sehingga mencecah 100 peratus.
Menurutnya, kenaikan harga itu dibimbangi boleh menjejaskan aliran kewangan penggiat industri di sepanjang rantaian bekalan sektor pembinaan yang akhirnya dipindahkan pula kepada pengguna.
“Selepas berbulan-bulan menghentikan kerja-kerja pembinaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kontraktor kini terpaksa berdepan kenaikan harga barangan asas pembinaan. Ia bukan perkara baharu, malangnya belum nampak tanda-tanda situasi itu akan pulih.
“Pihak-pihak berwajib perlu segera mengkaji langkah-langkah bagi menangani kesan dan impak kenaikan harga terutamanya besi dan lain-lain bahan asas binaan,” katanya selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama 50 Persatuan Usahawan dan Kontraktor Kedah pada Selasa.
Justeru, Mohd Zayad berharap kerajaan dapat mengenal pasti punca yang menyebabkan kenaikan tersebut seterusnya mengawal harga bahan binaan agar kemelut itu tidak terus membelenggu kontraktor.
“Satu penyelesaian bersifat menyeluruh dan jangka panjang perlu dilaksanakan segera. Tindakan pantas perlu dilakukan agar kebajikan golongan terbabit termasuk rakyat terpelihara.
“Kenaikan harga bahan binaan bukan sahaja beri kesan kepada kontraktor gred kecil dan besar berdasarkan kuantiti pembelian, sebaliknya turut mempengaruhi aspek lain seperti peningkatan kos bahan mentah, stok bahan binaan yang terhad serta kos sampingan perniagaan,” jelasnya.
Menurutnya, kenaikan harga menyebabkan peningkatan kos pembinaan sebanyak tujuh peratus sekali gus mengurangkan margin keuntungan kontraktor terutamanya kontraktor kecil sekitar 15 hingga 25 peratus.
“Bagaimana kontraktor kecil khususnya kontraktor Melayu dapat teruskan kelangsungan hidup. Pemegang lesen G1, G2, G3 dan G4 kebanyakannya sangat bergantung kepada projek-projek berskala kecil dan sederhana.
“Oleh itu, agensi berkepentingan seperti Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan agensi pelaksana berkaitan perlu mengambil langkah segera dalam menangani kenaikan kos bahan binaan dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri, seterusnya mengemukakan cadangan dan penyelesaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu mengambil langkah bersesuaian untuk membantu kontraktor kecil yang terjejas.
“Saya ingin cadangkan agar kontraktor kecil bumiputera menubuhkan konsortium bagi mengatasi masalah mendapatkan bekalan bahan binaan. Gabungan kumpulan kecil itu sekali gus dilihat mampu mewujudkan persaingan sihat dan dapat memelihara kepentingan mereka.
“Konsortium tersebut perlu terdiri daripada pelbagai kemahiran dan kepakaran, yang mana gabungan ini diharapkan dapat memberi buah fikiran untuk terus berada dalam pasaran yang semakin berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zayad berkata, DPMM Kedah menyokong klausa variasi harga (VOP) dalam kontrak untuk projek kerajaan dilanjutkan lagi.
“Bagi projek swasta, kerajaan mesti menggalakkan pemilik projek memperkenalkan VOP dalam kontrak mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!