Singapura kesan 16 kes varian Omicron

Varian Omicron kini dikesan di lebih 60 negara di seluruh dunia. - Foto AFP
Varian Omicron kini dikesan di lebih 60 negara di seluruh dunia. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Singapura setakat ini mengesan 16 kes varian Omicron, melibatkan 14 kes import dan dua kes tempatan, menurut pasukan petugas pelbagai kementerian (MTF) mengenai Covid-19 republik itu.

MTF berkata, lapan kes baharu Omicron disahkan dikesan hari ini (14 Disember) manakala enam kes Omicron awal yang dilaporkan sebelum ini juga disahkan menerusi penjujukan genomik.

“Varian Omicron kini dikesan di lebih 60 negara di seluruh dunia. Kami menjangkakan ia akan terus merebak ke banyak negara lain dari semasa ke semasa,” kata Pengerusi bersama MTF, Gan Kim Yong pada sidang media maya di sini.

"Kami akan terus memantau rapat situasi global," kata Kim Yong yang juga Menteri Perdagangan dan Industri.

Kim Yong berkata, dua kes tempatan di Singapura adalah petugas perkhidmatan penumpang lapangan terbang.

“Kami tidak mengesan sebarang penularan dalam masyarakat, namun berdasarkan pengalaman negara lain, ia hanya menunggu masa. Ini bererti boleh berlaku lonjakan kes kerana sifat varian Omicron yang sangat mudah menular.

"Oleh itu kita mesti bersiap sedia untuk senario seperti itu," katanya.

Kim Yong berkata vaksinasi kekal sebagai pertahanan utama Singapura terhadap Covid-19, termasuk varian Omicron.

Artikel Berkaitan:

"Kami menyediakan program suntikan dos penggalak untuk memastikan penduduk kita terus dilindungi daripada kesan yang teruk," katanya.

Singapura pada 11 Disember mengumumkan ia sedang melancarkan program vaksinasi kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun sebelum akhir tahun ini.

Menurut MTF, kesemua 16 kes Omicron melibatkan mereka yang lengkap vaksinasi, tanpa gejala atau menunjukkan simptom ringan dengan 13 kes pulih di wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID), dan tiga kes dibenarkan pulang.

"Setakat ini, semua kes mempunyai interaksi minimum dengan masyarakat sebelum diasingkan, dan kami tidak mengesan kes berkaitan dalam komuniti," menurut kenyataan itu.

Pengesanan kontak sedang dijalankan untuk mengurangkan penularan varian Omicron.

"Ini termasuk kuarantin di kemudahan yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (NPHL) mengesahkan jangkitan varian Omicron itu melalui penjujukan genom sampel ujian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!