KMIKT tawar rawatan jantung EP pertama Pantai Timur

Ahmad Samsuri (dua dari kanan) ketika pelancaran Makmal Kateterisasi Jantung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, pada Selasa.
Ahmad Samsuri (dua dari kanan) ketika pelancaran Makmal Kateterisasi Jantung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT) menjadi hospital swasta pertama di Pantai Timur yang menawarkan perkhidmatan Elektrophysiology (EP) kepada pesakit jantung yang memerlukan rawatan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali berkata, perkhidmatan itu ditawarkan melalui Makmal Kateterisasi Jantung (Cath Lab) yang terdapat di KMIKT iaitu makmal swasta pertama di Terengganu.

"Perkhidmatan EP merupakan rawatan untuk mengatasi masalah degupan jantung. Prosedur EP dilakukan oleh pakar kardiologi yang mempunyai sub pengkhususan dalam elektrofisiologi jantung," katanya selepas pelancaran Makmal Kateterisasi Jantung di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, di sini pada Selasa.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Pengurus Besar KMIKT, Salina Long.

Menurutnya, Makmal Kateterisasi Jantung itu beroperasi sejak Disember tahun lalu dan menawarkan perkhidmatan diagnostik serta kardiologi intervensi kepada komuniti Terengganu, Pahang dan Kelantan.

"Makmal ini juga menyediakan perkhidmatan rawatan jantung seperti Angiografi Koronari, Angioplasti Koronari, pemasangan alat pacu jantung (pacemaker) dan pemantauan elektrofisiologi," katanya.

Dr Rayney Azmi berkata, pesakit jantung di negeri ini dapat menerima rawatan dengan lebih cepat berbanding tempoh menunggu sehingga lapan bulan sebelum ini selain mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

Makmal Kateterisasi KMI Kuala Terengganu memulakan pembinaan pada tahun 2019 dengan kos RM4 juta dan siap sepenuhnya pada September 2020 serta mendapat kelulusan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dua bulan selepas itu.

Artikel Berkaitan:

Makmal ini memulakan prosedur pertama pada awal bulan Disember 2020 dan pasukan kardiologi KMIKT diterajui Dr Ahmad Suhaimi Mustafa yang mempunyai sub pengkhususan dalam bidang elektrofisiologi yang turut menumpukan kepada servis pemasangan perentak jantung kepada pesakit yang mempunyai masalah rentak jantung tidak sekata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!