Dah sebulan pagar sekolah roboh’
KOTA TINGGI - Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama Kota Tinggi (SMAKT) merayu pihak berkenaan mengambil tindakan terhadap tembok pagar sekolah berkenaan yang roboh di mana sehingga kini tiada sebarang kerja baik pulih dilakukan.
Yang Dipertua PIBG, Mohd Faiz Ithnin berkata, hampir sebulan pagar berkenaan roboh namun tiada tindakan untuk membina tembok baharu sekali gus merunsingkan ibu bapa dan guru.
“Pada ketika ini pihak sekolah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau tetapi sehingga kini tidak ada tindakan dari mana-mana pihak untuk melakukan kerja baik pulih.
“Terbaru, kami dapati terdapat runtuhan batu-batu telah hilang dipercayai diambil oleh orang. Menghampiri tempoh sebulan sudah ada kejadian seperti ini sekarang kawasan runtuhan hanya tinggal besi-besi,” katanya ketika melawat kawasan runtuhan tersebut, semalam.
Mohd Faiz berkata, apa yang diharapkan sebelum tempoh pembukaan sekolah pada Januari, akan ada gerakan kerja pembaikan dimulakan dengan segera.
Katanya, ini kerana sekolah berkenaan terdapat asrama didiami pelajar lelaki dan perempuan.
“Hampir sebulan sudah ada hilang, kita tidak mahu dalam tempoh cuti sekolah ini mungkin boleh berlaku kehilangan melibatkan benda lain pula. Saya merayu agar pihak berkenaan dapat segerakan proses jika boleh dilakukan secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bersatu Bahagian Tenggara, Hassan Rashid turut memohon agar pihak berkenaan mempercepatkan tindakan terhadap isu pagar roboh itu.
Menurutnya, tindakan segera boleh diambil kerajaan di bawah bantuan bencana kerana ia melibatkan sekolah.
“Kita harap kerja-kerja baik pulih dipercepatkan sementara belum bermula sesi persekolahan tahun depan. Saya ambil maklum perkara ini dan sudah diminitkan kepada menteri besar kepada exco pendidikan dan agama agar ambil tindakan segera dan hadir melawat tapak tembok sekolah yang runtuh ini,” katanya.Runtuhan batu daripada pagar yang runtuh telah hilang dipercayai diambil orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!