Pelepasan cukai kepada individu lakukan saringan Covid-19

Datuk Mohd Shahar Abdullah membacakan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Datuk Mohd Shahar Abdullah membacakan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelepasan cukai sehingga RM1,000 kepada individu yang melakukan ujian pengesanan Covid-19 termasuk ujian pengesanan kendiri oleh seseorang individu untuk diri sendiri, pasangan atau anak merupakan antara peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, ia terkandung di bawah pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pindaan ini berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2022 dan 2023,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mohd Shahar berkata, pindaan itu turut memasukkan peruntukan perbelanjaan bagi pemeriksaan kesihatan mental atau konsultasi yang dilakukan oleh seseorang individu untuk diri sendiri, pasangan atau anak.

Pada 9 November lalu, Mohd Shahar membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali pertama yang melibatkan pindaan ke atas lapan akta untuk melaksanakan langkah Bajet 2022.

Ia melibatkan Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Rabu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!