Berkorban jaga suami, adik terlantar

Mas Imran (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Salbiah yang menjaga Mariam dan juga suaminya di Pangsapuri Permas Jaya, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, pada Selasa.
Mas Imran (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Salbiah yang menjaga Mariam dan juga suaminya di Pangsapuri Permas Jaya, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga emas bukan saja berkorban menjaga adiknya yang terlantar kerana angin ahmar malah turut mengurus suami yang menghidap sakit prostat.

Rutin setiap hari Salbiah Mahmood, 67, ialah menguruskan kedua-dua mereka sebelum keluar berniaga nasi lemak di bawah tempat tinggalnya di Pangsapuri Permas Jaya, Bandar Baru Permas Jaya.

Salbiah yang hanya bergantung hidup hasil jualan nasi lemak di bawah pangsapurinya, berkorban masa dan tenaga menjaga adiknya, Mariam, 66, yang diserang angin ahmar sejak tiga bulan lalu di pangsapuri itu.

Menceritakan situasi yang dihadapi adiknya ketika ini, Salbiah berkata, semuanya bermula apabila anak sulung Mariam, Hisham Mahadun, 48, meninggal dunia pada April lalu akibat asma.

"Tidak lama selepas itu dia yang tinggal bersama menantunya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini diserang Covid-19 dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Dalam tempoh dua bulan dimasukkan ke hospital tersebut, Mariam disahkan menghidap penyakit angin ahmar sehingga lumpuh sebelah badan bahagian kanan dan kini hanya terlantar di katil.

"Apabila doktor membenarkan adik pulang ke rumah, saya mengambil tanggungjawab untuk menjaganya. Mariam kini tidak mampu untuk bertutur, tidak menunjukkan sebarang emosi," katanya.

Die berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam yang memberikan sumbangan barangan keperluan dapur termasuk lampin pakai buang dewasa dan susu khas dengan nilai keseluruhan RM1,000.

Artikel Berkaitan:

Menurut warga emas itu, segala keperluan adiknya diuruskannya termasuk menukar lampin pakai buang, membersihkan diri serta memberi susu khas setiap empat jam sekali.

Katanya, dalam sebulan, sebanyak lima tin susu formula diberikan dengan anggaran harga hampir RM500 manakala kos bagi lampin pakai buangnya pul mencecah RM200 bagi 10 pek sebulan.

Tambahnya, Mariam sepatutnya perlu menjalani fisioterapi di HSA namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana mereka tinggal di tingkat empat dan tidak ada kenderaan sendiri untuk membawanya.

"InsyaALLAH, selagi ada kudrat, saya akan terus menjaga adik dan suami. Alhamdulillah, saya masih diberi kekuatan dan kesihatan untuk menjaga mereka walaupun ada masa saya tidak sihat. Saya akan pastikan adik cukup makan (susu khas)," katanya.

Salbiah berkata, suaminya, Mat Top Aman, 66, sudah tidak mampu bekerja kerana sakit prostat.

Katanya, hasil jualan nasi lemak yang diperoleh sekitar RM30 hingga RM40 sehari mencukupi untuk menampung kehidupan mereka berempat termasuk seorang anak angkat perempuan berusia 18 tahun.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Salbiah menerusi talian 019-9422872 atau terus menyalurkan ke akaun Bank Islamnya bernombor 01014025234948.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!