Suspek utama pencemaran sisa kimia didakwa esok
PASIR GUDANG - Kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran bahan kimia yang berlaku sekitar Taman Pasir Putih di sini, sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin berkata, sekiranya penelitian selesai dibuat, suspek yang ditahan baru-baru ini akan didakwa di mahkamah seawal esok.
“Kertas siasatan bagi kes ini dihantar ke ke pejabat timbalan pendakwa raya sebentar tadi. Hanya seorang daripada tiga yang ditahan akan didakwa terlebih dahulu. Pendakwaan akan dilakukan ke atas salah seorang suspek utama yang juga pengusaha kilang tayar kitar semula.
“Perkara ini berdasarkan keputusan jenis bahan kimia yang diperoleh mendapati ia mempunyai hubung kait dengan aktiviti pemprosesan tayar kitar semula,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1975 yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM500,000 jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, pihaknya juga turut menerima nasihat daripada peguam negara untuk menggandakan hukuman kepada pelaku jika sabit kesalahan.
“Saya dah berhubung dengan peguam negara mengenai perkara ini, kami rasakan kejadian seperti ini adalah sesuatu yang tidak boleh diberi muka dan hukuman lima tahun atau denda adalah tidak memadai.
“Jadi kita telah usulkan untuk membuat pertuduhan berganda untuk pendakwaan lebih berat termasuklah kanun keseksaan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
TMJ zahir rasa sedih
Cemas, lagi pelajar mangsa pencemaran kimia
Polis siasat kes sisa toksik di Pasir Gudang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!