Anggota tentera wanita maut, bayi parah dalam kemalangan
TAIPING - Seorang anggota tentera wanita maut, manakala bayi perempuannya parah dalam kemalangan di Kilometer 209.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 10.55 malam itu, mangsa, Norfatiha Mohd Zaini, 28, yang berkhidmat dalam Kor Perkhidmatan Diraja dalam perjalanan dari Sungai Petani menghala ke Ipoh menaiki kereta bersama tiga anaknya.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tiba di tempat kejadian, kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa dipercayai terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan.
"Kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bayi perempuannya berusia satu tahun pula cedera parah.
"Dua lagi mangsa yang turut berada dalam kenderaan itu iaitu kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun masing-masing tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.
Beliau berkata, ahli keluarga mangsa telah dimaklumkan kejadian itu dan siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mangsa yang parah masih menerima rawatan di zon merah Hospital Taiping," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!