Padah ugut, rosakkan kereta isteri
ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis kerana mengugut dan merosakkan kenderaan milik isterinya di Jalan Teluk Wanjah di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa kira-kira jam 10.37 pagi di Balai Polis Alor Setar.
Katanya, ketika kejadian mangsa yang berusia 24 tahun berada di Lorong Panglima Jalan Teluk Wanjah di sini sebelum menyedari suaminya sedang mengekorinya dengan menaiki motosikal jenis Honda Wave.
"Suspek kemudian menahan kenderaan mangsa dan mengetuk cermin kereta hadapan sebelah penumpang beberapa kali.
"Suspek menyuruh mangsa membuka tingkap dengan alasan mahu memberikan wang kepada anak mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, mangsa kemudian membuka sedikit tingkap namun secara tiba-tiba suspek bertindak merentap cermin kereta Perodua Axia berkenaan.
"Serpihan kaca telah terkena anak-anak mangsa sehingga menyebabkan mereka terkejut dengan kejadian terbabit.
"Siasatan lanjut yang dijalankan anggota bertugas mendapati kejadian terbabit berlaku di tepi jalan berhampiran rumah mangsa.
"Lokasi kejadian tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), namun kejadian berjaya dirakamkan oleh mangsa dengan telefon bimbit miliknya," katanya.
Ahmad Shukri berkata, suspek ditahan pada hari yang sama sejurus selepas kejadian dan ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif.
"Suspek ditahan reman bermula 14 sehingga 17 Disember ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 kanun keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!