Perak bakal perkenal Dasar Pembangunan Sukan OKU

Khairul Shahril ketika menjawab soalan lisan Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing) pada Persidangan Keempat, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 pada Rabu. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Khairul Shahril ketika menjawab soalan lisan Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing) pada Persidangan Keempat, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 pada Rabu. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan menjadi negeri pertama memperkenalkan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini dalam usaha memperkasa sukan terhadap golongan berkenaan.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, dasar tersebut sedang di peringkat akhir untuk diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, ia merupakan suatu dasar sukan dalam kalangan OKU melalui pembentukan dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh untuk mencapai kecemerlangan sehingga peringkat kebangsaan.

"Dasar ini adalah inisiatif kerajaan negeri Perak bagi memastikan kesaksamaan hak, peluang dan kepentingan OKU khususnya dalam bidang sukan lebih terjamin seperti yang ditetapkan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan Dasar Orang Kurang Upaya.

"Kerajaan negeri Perak mengambil inisiatif untuk menggubal satu dasar berkaitan pembangunan sukan OKU supaya hala tuju pembangunan sukan OKU dapat diselaraskan dengan lebih efisien," katanya ketika menjawab soalan lisan Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing) pada Persidangan Keempat, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, Khairul Shahril memberitahu, dasar yang akan diluluskan difahamkan belum lagi diwujudkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini.

Menurut beliau, golongan OKU merupakan sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat lain.

Jelas beliau, mereka juga menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan modal insan dan pencapaian dalam pelbagai bidang termasuk bidang sukan.

Artikel Berkaitan:

"Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan supaya hak dan peluang untuk menyumbang kepada pembangunan negara turut melibatkan penyertaan golongan OKU khususnya dalam aktiviti dan program sukan berprestasi tinggi mahupun sukan untuk semua.

"Jika dasar ini diluluskan, saya difahamkan di peringkat akhir, negeri Perak merupakan negeri yang pertama memperkenalkan dasar Pembangunan Sukan OKU ini malah Majlis Sukan Negara sendiri pun masih belum ada dasar ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!