[VIDEO] Budak perempuan ditemui selepas enam jam diculik
ISKANDAR PUTERI - "Alhamdulillah, anak perempuan saya berjaya ditemui selepas hilang hampir enam jam. Terima kasih kepada semua yang bantu cari anak saya selepas kisahnya diculik tular," kata Mohd Khairul Nizam Shafii, 34.
Bapa kepada Nur Damia Qaleesya, 7, berkata, anaknya itu ditemui penduduk di belakang sebuah kedai makan yang kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya di Taman Teratai, pada malam Selasa.
Peniaga itu memberitahu, dia menyedari kehilangan Damia yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik pada jam 4.30 petang pada Selasa.
"Damia dan adiknya, Nur Rania Qairasah, 5, keluar bermain di rumah kawan mereka yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah kami. Namun, Rania pulang semula dan menangis beritahu kakaknya menaiki kereta seorang lelaki yang tidak dikenali.
"Saya dan isteri, Nur Aida R Mohd Tahir, 34, panik dan bertindak mencari kereta yang membawa Damia di sekitar Taman Teratai namun tidak ditemui. Saya terus pergi ke Balai Polis Iskandar Puteri untuk buat laporan polis," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Khairul berkata, dia dihubungi polis pada jam 10.30 malam memberitahu, Damia telah ditemui oleh penduduk Taman Teratai dan berada di sebuah taman permainan di kawasan perumahan terbabit.
"Saya dan isteri bergegas ke taman permainan terbabit untuk bertemu Damia. Saya menangis peluk erat Damia. Tuhan sahaja tahu perasaan saya dan isteri ketika itu. Tiada kata-kata lain selain ucapan syukur kerana Damia selamat.
"Keadaan di taman permainan ketika itu ada beberapa orang penduduk dan polis, mereka turut membaca doa selamat. Selepas itu, saya dan Damia dibawa ke Balai Polis Iskandar Puteri untuk diambil keterangan dan kami dibenarkan pulang selepas itu," katanya.
Sementara itu, Aliffi Abd Rahim, 28, yang menemui Damia di belakang sebuah kedai makan tidak menyangka gerak hatinya untuk makan di sebuah restoran yang baru dibuka di kawasan taman perumahannya itu telah menyelamatkan kanak-kanak perempuan terbabit.
Katanya, sebelum pergi ke restoran terbabit dia bersama abangnya Affandi, 33, ada terbaca mesej tular di media sosial mengenai kanak-kanak perempuan dilaporkan diculik di Taman Teratai.
Menurut beliau, sewaktu melewati laluan menuju ke restoran tersebut, keadaan agak sunyi, namun kelihatan kelibat kanak-kanak perempuan di sebalik tembok di belakang deretan kedai di situ.
"Saya turun dari kereta untuk melihat lebih dekat wajah kanak-kanak perempuan itu. Kelihatannya, sama seperti wajah kanak-kanak yang dilaporkan culik yang kisahnya tular di media sosial.
"Kanak-kanak perempuan itu dalam keadaan bingung dan beritahu namanya, Damia. saya cuba pujuk dengan beritahu akan bawa pulang bertemu ibu bapanya. Akhirnya, dia ikut saya dan kereta kami ditahan polis di laluan berdekatan taman permaian di Taman Teratai," katanya.
Menurut Aliffi, dia menyerahkan Damia kepada anggota polis terbabit dan keterangannya turut diambil bagi membantu siasatan.
"Saya harap kejadian seumpama ini menjadi pengajaran dan tidak berulang," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan ada menerima laporan kejadian culik berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!