Tiada lagi keperluan pengeluaran KWSP: Ceupacs

Datuk Adnan Mat
Datuk Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpandangan tiada lagi keperluan untuk kerajaan membenarkan kemudahan mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memandangkan lebih RM100 bilion telah dikeluarkan sebelum ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, berdasarkan data KWSP, 50 peratus ahlinya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Senario ini kata beliau, amat membimbangkan malah memberi kesan yang lebih besar sekiranya kebenaran pengeluaran dibenarkan sekali lagi.

Jelas beliau, matlamat utama KWSP adalah untuk memastikan para pekerja mempunyai simpanan yang mencukupi bagi kegunaan selepas persaraan atau hari tua kelak.

“Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara telah kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP.

“Kesannya, ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara miskin.

“Seperti yang dinyatakan KWSP, kira-kira 50 peratus ahli yang memiliki simpanan kurang RM10,000 itu hanya boleh berbelanja RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun persaraan.

“Kita tidak mahu kesannya menjadi lebih berpanjangan pada hari tua kelak kerana sepatutnya pesara ini harus hidup dengan lebih sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pada peringkat awal, pihaknya bersetuju dengan langkah kerajaan membenarkan beberapa siri pengeluaran KWSP kepada rakyat melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Hal yang demikian adalah kerana katanya, ia mampu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

“Manfaat ini turut dirasai sendiri oleh penjawat awam kerana sejumlah 400,000 ahli aktif KWSP melibatkan pencarum yang dikategorikan majikannya adalah kerajaan.

“Cuepacs beranggapan jumlah itu adalah sebahagian daripada penjawat awam yang mungkin memilih skim KWSP, berstatus kontrak atau bekerja di bawah agensi yang berkaitan kerajaan.

“Bagaimanapun, setelah hampir dua tahun kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, Cuepacs melihat ekonomi negara semakin pulih dan kembali berkembang apabila kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan yang ketat kepada sektor ekonomi.

“Rakyat juga tidak lagi dikenakan sekatan pergerakan dan boleh melakukan aktiviti serta perniagaan masing-masing,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!