Sekarang bukan masa kenakan caj ATM RM1

 Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan untuk segera masuk campur dan mengarahkan bank-bank membatalkan semula caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang berkuat kuasa mulai Februari depan.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) berkata, sekarang bukan masanya untuk mengenakan semula caj tersebut, malah berpandangan ia merupakan langkah yang salah dan tidak disenangi rakyat.

“Saya mengikuti berita bahawa sejumlah bank komersial akan mengenakan semula caj RM1 bagi transaksi antara bank di ATM bermula 1 Februari 2022.

“Saya berpandangan ini adalah satu langkah yang sangat salah dan tidak disenangi rakyat. Saya bukan sahaja menerima pelbagai mesej malah turut membaca komentar netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan langkah ini.

“Justeru, saya menggesa kerajaan dan khususnya Menteri Kewangan untuk segera masuk campur dan mengarahkan bank-bank membatalkan rancangan kenaan bayaran RM1 bagi transaksi ATM ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu, semua bank tempatan mengeluarkan kenyataan masing-masing yang mana caj RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai bagi transaksi yang dilakukan di ATM, berkuat kuasa 1 Februari depan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, dari segi teknikal, seluruh negara mengetahui bahawa sektor perbankan antara sektor yang melaporkan keuntungan sihat meskipun pandemik dan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana.

“Sebagai contoh, Maybank melaporkan keuntungan bersih bagi suku kedua 2021 berjumlah RM1.96 bilion, iaitu hampir RM1 bilion lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“CIMB pula menyaksikan peningkatan RM1.835 bilion keuntungan bersih ke RM2.62 bilion (2Q2021) berbanding RM785 juta (2Q2020). Ini bermaksud kebanyakan jika bukan kesemua bank komersial menyaksikan keuntungan sihat tahun ini,” ujarnya.

Tambah Saifuddin Nasution, kebanyakan bank juga sering kali meletakkan pelbagai caj ke atas hampir semua transaksi yang lain.

Justeru, beliau berpandangan terdapat pelbagai kaedah untuk memastikan pihak bank masih dapat menampung kos dalam hal transaksi ATM tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!